Saturday, September 27, 2014

Buku : Mudahnya Menjemput Rezeki (Fathuri Salehuddin)




Tajuk                 : Mudahnya Menjemput Rezeki
Penulis               : Fathuri Salehuddin
Bil. Halaman       : 184 m/s
Harga                 : RM18.00 (Sem) RM20.00 (Sabah/Sarawak)

Blurb kulit buku:

Sesungguhnya Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNYA dengan tidak terhitung jumlahnya.

Apa kata saya:

Buku ni dihadiahkan oleh seorang sahabat, sebagai ganjaran untuk saya kerana telah berjaya mencapai sesuatu. Saya tak pernah tahu pun pasal buku ni sebelum ni, dan rasanya kalau jumpa kat kedai pun besar kemungkinan saya takkan beli, sebab saya kan payah sikit nak baca buku ilmiah sebelum ni, sebab masih dengan sangkaan baca buku ilmiah cepat mengantuk, bahasa yang skema dan penyampaian isi yang berat dan perlu banyak berfikir untuk menghadam maksudnya.

Tapi, penerimaan saya terhadap buku ni amat berbeza. Sebaik saja sahabat tersebut maklumkan tentang pemberian buku ni, saya terus cari review di Goodreads. Terkejutnya saya bila tengok banyak sangat pembaca yang dah review buku ni dan ratingnya pun tinggi, ramai yang memuji betapa bagusnya isi kandungan buku ni. Dan menurut sahabat saya jugak, banyak manfaat yang dia dapat daripada buku ni, membuat saya rasa teruja sangat-sangat untuk baca dan tahu apa yang terkandung di dalamnya.

Belum pun sampai separuh buku saya habiskan, rasa syukur terdetik berkali-kali dalam hati. Syukur kerana saya dikurniakan ‘rezeki’ untuk membaca buku ini dan mengambil ilmu-ilmu yang dikongsikan oleh penulis tentang rezeki. Pemahaman saya terhadap rezeki jadi bertambah meluas; memang sebelum ini pun saya tahu rezeki Allah ada yang berbentuk material dan ada yang bersifat abstrak dan intangible, seperti kesihatan, pekerjaan dan ilmu, tapi konsep rezeki malah lebih luas sebenarnya – hati yang tenang, jiwa yang bersyukur, hati tergerak untuk melakukan kebaikan atau meninggalkan kemungkaran – semua itu juga adalah rezeki!

Buku ini mengulas tentang amalan-amalan yang boleh dipraktikkan untuk ‘menjemput’ rezeki, iaitu amalan-amalan yang apabila dilakukan, dengan niat yang betul (ikhlas dan yakin terhadap Allah) dan cara yang betul (mengikut syariat), insyaAllah akan memudahkan seseorang memperoleh rezeki, dalam jumlah yang berlipat ganda dan daripada jalan yang tidak disangka-sangka, dengan izin Pemilik dan Pemberi rezeki, Allah SWT.

Buku ini terbahagi kepada empat bahagian iaitu (i) Apa Itu Rezeki? yang menerangkan tentang bentuk-bentuk rezeki, (ii) Menjemput Rezeki iaitu senarai amalan yang boleh membawa kepada kurniaan rezeki daripada Allah SWT, (iii) Cerita Menjemput Rezeki iaitu beberapa kisah benar tentang kejayaan memperoleh rezeki hasil daripada amalan-amalan tertentu, dan (iv) Apa Perlu Saya Buat Sekarang? iaitu pelan tindakan yang perlu dirangka dan diikuti untuk membina impian dan mencapainya (memperoleh rezeki) berdasarkan amalan-amalan menjemput rezeki.

Di sini saya kongsikan secara ringkas amalan-amalan menjemput rezeki yang telah dikongsi oleh penulis:
  •  Mengutamakan solat (solat di awal waktu dan bagi lelaki afdal berjemaah di    surau/masjid)
  •   Solat sunat tahajjud
  •   Solat sunat dhuha
  •   Zikir (menyebut dan mengingati Allah)
  •   Doa (berdoa dengan mematuhi adab2, pada waktu dan tempat yang dimustajabkan  doa)
  •   Mendoakan orang lain (doakan kebaikan untuk orang lain, kita akan mendapat  kebaikan itu juga, insyaAllah)
  •   Sedekah (kisah2 benar tentang sedekah dalam buku ini sangat menarik dan  mengesankan!)
  •    Membaca al-quran
  •    Asmaul Husna (beramal dengan asmaul husna yan bersesuaian mengikut rezeki yang  diingini)
  •    Bersyukur
  •    Tekun berusaha
Amalan-amalan ini sebenarnya adalah ibadah-ibadah yang akan mendekatkan seseorang kepada Allah SWT. Apabila dekat dengan Allah, disayangi dan disukai oleh Allah, mudahlah untuk memperoleh rezeki, kerana Allah lah Pemilik dan Pemberi rezeki-rezeki tersebut. Namun harus diingat, ikhlaskan niat untuk melakukan amalan-amalan ini bukan semata-mata kerana ingin mendapat rezeki, tetapi untuk mendapat keredhaan Allah, sebagai tanda kecintaan dan ketaatan kepadaNYA, dan sebagai tanda kesyukuran atas segala nikmat yang telah dikurnia olehNYA, mudah-mudahan Allah bermurah hati dan belas kasihan terhadap kita lalu mengurniakan rezeki kepada kita, insyaAllah.

Sekalung tahniah buat penulis kerana berjaya menyampaikan isi kandungan buku ini dengan ringkas, padat, straight to the point, intonasi bahasa yang meyakinkan, dan penggunaan dalil-dalil al-quran dan hadis yang amat baik sekali.

Terima kasih tak terhingga buat sahabat yang telah menghadiahkan buku ini kepada saya, Alhamdulillah, ‘sedekah’ beliau ini sangat bermanfaat buat saya, pastinya besar ganjaran yang Allah berikan kepadanya. Saya juga berhasrat untuk menghadiahkan buku ini kepada beberapa orang sahabat, ingin berkongsi ‘rezeki’ rasa kesyukuran yang saya rasai daripada ‘rezeki’ ilmu yang saya perolehi melalui buku ini, insyaAllah. Semoga Allah 'rezekikan' untuk saya istiqamah dengan amalan-amalan ini...

No comments:

Post a Comment