Saturday, February 26, 2011

Cabaran 50 Buku/Novel [8] : Kau Curi Hatiku (Iman Xara)



Tajuk : Kau Curi Hatiku
Penulis : Iman Xara
Penerebit : Jemari Seni Sdn. Bhd
Muka surat : 518

Sinopsis belakang buku:
Seteguh manakah hati seorang isteri kalau hidup bersama suami setiap hari makan hati berulam jantung, sedang kekasih lama tetap setia dengan cintanya?
Arissa dan Zamil, rakan sekerja yang seperti anjing dengan kucing tidak boleh berdekat. Seorang bermulut laser dan seorang lagi mulut tiada insurans. Sering juga teman-teman mengingatkan mereka, kata orang, jangan terlalu membenci bimbang nanti menjadi suka. Tapi mereka tak percaya kerana rasa tidak suka itu terlalu tebal. Namun siapalah mereka untuk menolak perasaan suka itu kalau perasaan itu mahu bertunas? Arissa kecewa kerana percintaannya dengan Firdaus terpaksa berakhir kerana keluarga; Zamil pula kecewa kerana hanya bertepuk sebelah tangan dengan Ain. Mereka tidak tahu bahawa takdir telah menentukan hubungan masam-masam manis antara mereka begini dan kemudian begitu, jadinya.
* * *
Kata orang hati perempuan itu sukar ditafsirkan. Jadi biarlah IMAN XARA membuka rahsia itu untuk anda fahami, dengan membaca Kau Curi Hatiku

_________________________________________

Buku ini mengisahkan tentang Arissa dan Zamil, rakan sepejabat yang pantang bertemu, pasti akan tercetus perbalahan mulut antara mereka. Rakan-rakan rapat mereka, Zulfa, Ain, Aswad dan Rizza sentiasa menasihati mereka supaya berbaik-baik, namun perbalahan demi perbalahan terus berlaku antara mereka. Pantang terdengar Zamil mengata, pasti akan dibalas oleh Arissa, dan Zamil pula selalu saja bersangka yang bukan-bukan terhadap Arissa.

Zamil menyukai Ain, salah seorang rakan sekerja dalam kumpulan mereka. Malangnya, cinta Zamil tidak berbalas, Ain menganggapnya tidak lebih daripada seorang kawan. Ain telah mendapat tawaran kerja di negeri kelahirannya dan telah berpindah tempat kerja, menyebabkan Zamil amat kecewa dan mula berubah sedikit demi sedikit.

Arissa pula sebenarnya dalam gurauan dan sikap cerianya rupa-rupanya menyimpan luka di dalam hati yang tak pernah diketahui sesiapa, termasuk kawan rapatnya, Zulfa. Arissa pernah menyintai Firdaus, seorang pemuda di kampungnya. Percintaan yang disemai sejak di bangku sekolah itu terpaksa diputuskan apabila bapa saudara Arissa mengahwini adik perempuan Firdaus. Biarpun hukum agama tidak mengharamkan perkahwinan antara kedua-duanya namun keluarga Firdaus tidak mahu perkara demikian berlaku. Dan, apabila menerima kad undangan perkahwinan Firdaus, Arissa tidak dapat menyembunyikan kesedihan hatinya dan meluahkannya kepada Zulfa.

Semenjak ketiadaan Ain, sikap Zamil semakin berubah, menjadi seorang yang lebih baik dan tidak lagi bertengkar dengan Arissa. Melalui Zulfa, disuarakan niatnya untuk memikat hati Arissa dan menjadikan Arissa teman istimewanya. Zulfa sangat gembira dan amat ingin melihat dua orang sahabatnya itu bersatu. Pada mulanya Arissa tidak ambil kisah dan tidak melayan Zamil, sikap biadab dan kata-kata kesat Zamil selama ini tidak dapat dilupakannya. Namun, ibarat kerasnya kerak nasi, direndam dengan air menjadi lembut juga, begitulah hati wanita seorang Arissa. Dipujuk dirayu, dimanja dan diberi perhatian oleh Zamil, Arissa akhirnya membuka pintu hatinya buat Zamil, biarpun kurang dipersetujui keluarganya.

Kehidupan Zamil dan Arissa amat bahagia dan berjalan lancer, sehinggalah datang badai mengocak tenangnya pelayaran bahagia mereka selepas kelahiran Alif Rayyan. Kasih Zamil mula beralih arah kepada Tina, seorang wanita yang dikenali sewaktu berkursus, dan bermula dari itu pembohongan demi pembohongan diciptakan Zamil buat Arissa. Kecurangan Zamil berjaya dihidu Arissa, begitu juga Zulfa dan rakan-rakan sepejabat mereka, namun Arissa tidak pernah menjaja cerita kepincangan rumahtangga mereka, semuanya dipendam seorang diri. Sikap Zamil semakin teruk apabila Arissa mengandung dan melahirkan cahaya mata kedua mereka, Safya Hani.

Firdaus, bekas kekasih Arissa pula kematian isterinya Nurin, akibat penyakit yang dideritainya. Apabila mengetahui keadaan hidup Arissa yang tidak bahagia, hatinya diruntun pilu dan kasihnya terhadap Arissa yang tak pernah padam selama ini kembali mekar. Apakah yang berlaku seterusnya? Untuk mengetahuinya, dapatkan Kau Curi Hatiku, karya ketiga daripada Iman Xara ini.

Apa kata saya :

Saat membaca bab 1 di laman sesawang Jemari Seni, hati bagai ditarik-tarik untuk dapatkan buku ini, sesegera yang mungkin! Tapi di Tawau ni kedai buku mana la yang jual novel baru dengan cepat? Nasib baiklah teknologi sekarang canggih, klik 2-3 kali dah siap membeli, tinggal kena tunggu je lebih kurang seminggu, dah dapat buku yang diidam, mudah sungguh!

Sangkaan saya mengenai buku ini berkisar tentang perkahwinan secara paksa meleset sekali rupanya! Pada awalnya saya agak kecewa kerana sangkaan saya tidak tepat, tapi cara penyampaian Iman Xara yang bagi saya ‘kemas’ telah ‘mengikat’ saya untuk menghabiskan bacaan ke noktah terakhir, biarpun terpaksa ‘pause’ beberapa kali kerana tuntutan tugas seharian. Saya tidak pernah membaca karya-karya Iman Xara yang sebelum ini, jadi saya tidak dapat membuat perbandingan dengan karya-karya beliau yang terdahulu.

Watak Zamil betul-betul membuatkan saya rasa benci dan asyik memaki sendirian di dalam hati semasa membaca buku ini. Saya sangat kasihankan Arissa, dan pada masa yang sama saya juga kagum dengan ketabahannya menempuh badai yang melanda kehidupannya bersama Zamil. Saya pasti, ramai sebenarnya wanita yang mengalami masalah yang sama seperti Arissa, namun begitulah wanita, akan terus bertahan selagi termampu, biarpun hati sendiri sudah parah berdarah dan remuk redam. Saya sukakan pengakhiran cerita ini, yang baik dibalas baik dan yang bersalah mendapat pembalasan setimpal. Paling saya sukai dalam cerita ini ialah ketabahan dan ketegasan Arissa dalam membuat keputusan, kecuali keputusannya menerima Zamil suatu waktu dulu.

Sedikit kelainan dalam novel ini ialah penggunaan dialek negeri Terengganu yang agak banyak, sesuatu yang tak pernah saya temui dalam buku-buku yang pernah saya baca sebelum ini. Oleh kerana saya juga berasal dari Terengganu, tiada masalah untuk saya fahami perbualan-perbualan dalam cerita ini, namun saya rasa lebih baik disediakan sedikit ruangan catatan maksud perkataan-perkataan tertentu yang mungkin tidak difahami pembaca, terutamanya yang bukan berasal dari negeri-negeri pantai timur.


Wednesday, February 16, 2011

Cabaran 50 Buku / Novel [7] : Kerana Cinta Harus Memilih (Burhan Sodiq)



Tajuk : Kerana Cinta Harus Memilih
Penulis : Burhan Sodiq
Penerbit : Gazza Media (Indonesia)
               Kemilau Publika (Malaysia)
Muka surat : 111

Sinopsis belakang buku:
Ini bukan judul sinetron, bukan pula opera sabun. Tapi judul buku ini akan memgingatkan kamu pada hal-hal yang biasa anda alami. Bagaimana memilih di antara 2 pilihan, menjadikannya kekasih atau hanya teman. Tentu saja akan ada  perasaan bimbang, ragu campur perih. Lengkap dengan air mata yang bergenang di kelopak mata, tetapi pilihan ini harus dipilih. Pilihan ini juga sebagai sebuah neraca iman di dada kamu. Agar kamu semakin tunduk, semakin cinta hanya kepada Dia, Allah S.W.T. Jadikan cinta yang menyucikan jiwa, bukan hiasan dunia penabur dosa. Cinta remaja yang indah dan penuh pahala.

Buku ini setidaknya menjadi teman mencipta haluan. Berkata semahunya dan memberi makna sebaik-baiknya. Mendialog apa yang kamu rasakan dan member kesesuaian atas pilihan yang kamu tentukan. Kerana masa remaja kamu akan tersia-sia, manakala kamu tidak boleh memandunya. Jangan sampai kerana asyik dengan cinta yang salah, hidup kamu menjadi tidak indah.
**************************************************

Saya mendapat judul buku ini melalui forum di Halaqah.net dalam satu topik yang membincangkan tentang novel yang bagus dan baik untuk bacaan. Salah seorang ahli forum telah menyebut judul buku ini dan ia amat menarik perhatian saya. Semasa berkunjung ke Kota Kinabalu pada bulan Ogos tahun lalu, saya terjumpa buku ini di Kedai Buku Popular di Centre Point, tanpa fikir panjang terus saya ambil dan bayar.

Semasa dalam penerbangan dari KK ke Tawau, saya buka pembalutnya dan ingin memulakan pembacaan. Tetapi saya sangat terkejut (dan kecewa juga) apabila mendapati ia bukanlah sebuah novel, tetapi sebuah buku motivasi! Belum pun sempat baca satu muka, saya terus tutup dan simpan, dan memilih untuk zzzzzz……

Sampailah 2 minggu lepas, saya check mana2 buku saya yang belum dibalut, saya terjumpa semula buku ini. Dalam hati saya terdetik, “ok, kali ni saya nak baca buku ni, SAMPAI HABIS!” Saya balut buku ini dan kemudiannya bawa ke katil, saya akan cub abaca setiap kali sebelum tidur, sampai habis.

Alhamdulillah, akhirnya selepas 3 malam saya berjaya juga habiskan buku ini (padahal bukan tebal pun, huhu…) dan saya sangat kagum dengan cara penyampaian penulis ini, ringkas tetapi menyentuh hati kesan penggunaan kata yang halus dan puitis.

Buku ini disasarkan untuk remaja, berkenaan keutamaan menumpukan perhatian kepada pelajaran dan menolak ke tepi dahulu soal berkasih-kasihan. Melalui buku ini juga penulis seolah memberi penegasan  kepada para remaja, bahawa kita hanya punya satu cinta iaitu cinta yang mendekatkan diri kepada Tuhan. Beliau juga memberi panduan bagaimana untuk mengawal perasaan dan perhubungan apabila hati disinggahi rasa cinta, dan bersabar untuk menikmati rasa cinta pada waktu yang sesuai, suatu hari nanti.

Antara petikan kata-kata yang amat saya gemari dalam buku ini :

Ingatlah, siapa yang menciptakan hati kita? Yang menciptakan hati kita adalah Allah. Allah yang berhak untuk menumbuhkan rasa cinta di hati kita. (ms. 62)

Bukan kita yang menggerakkan hati tetapi Allah yang selalu hadir untuk kita. Bila kita meyakini hal itu, maka tidak ada ragu di hati. Tidak perlu risau jika cinta tidak kunjung tiba. Tidak perlu gelisah bertanya kerana cinta itu ada untuk kita. (ms. 63)

Selama kita menjaga diri, menguatkan diri dengan akhlak Islami, menjaga kehormatan diri dan hati, maka Allah akan pilihkan pasangan yang tepat untuk kita. Bukan sekarang, bukan juga esok pagi, tetapi bila tiba saatnya. Kita hanya akan tersipu dan menerimanya dengan segenap hati. (ms.63)

Bingkai mimpi dalam langit rumah kita tidak mampu disimpan dalam hati yang sempit. Maka luaskan rumah hati kita dengan banyak bersyukur kepada Allah. Syukur atas apa yang sudah kita dapat sebagai tenaga untuk bertahan. (ms. 75)

Berjalanlah seperti pedagang, yang mengayuh basikal perlahan dengan harapan tinggi di ujung anan-angan. Bermimpilah mendapat pendamping sehati, serasa, sejiwa dan segala-galanya. Kerana dunia yang berputar masih meninggalkan banyak hati yang perlu dikenali, adakah salah satunya yang rela menua bersama kita? (ms. 76)

Oh, saya tak sabar untuk dapatkan buku-buku Burhan Sodiq yang lain, terutamanya ‘Ya Allah, Aku Tak Ingin Sendiri’ dan ‘Kamu Memang Cantik’

Wednesday, February 9, 2011

Cabaran 50 Buku / Novel [6] : Qantan Biru Langit (Muliati Abdul)




Tajuk : Qantan Biru Langit
Penulis : Muliati Abdul
Penerbit : Kaki Novel Enterprise

Sinopsis belakang buku :

Qantan Biru Langit? Dia itu siapa? Anak orang kayakah? Atau anak raja?Oh! Qantan Biru Langit bukan orang ternama. Bukan juga anak orang kaya. Jauh sekali anak raja. Dia Cuma seorang gadis biasa. Namun yang menjadi kemusykilan, kenapa 3 orang jejaka boleh diserang penyakit angau setelah bertemu  dengannya? Apa istimewanya Qantan Biru Langit di mata mereka?

Razif Khuzaini – Seorang pilot ‘cabuk’. Bekas rakan sekelas Qantan Biru Langit dan nyaris menjadi suami Qantan Biru Langit gara-gara wasiat keluarga. Namun di saat akhir Razif memilih gadis lain untuk menjadi isterinya. Setelah isterinya dijemput Ilahi, hadir perasaan aneh di dalam hatinya setelah bertemu dengan Qantan semula. Kata Razif : Saya akan menjadi lelaki paling bahagia andai kata diberi peluang kedua. InsyaAllah, saya tak akan sia-siakan seperti dulu.

Rafael Vivarte – Businessman kacukan Melayu-Perancis. Pertama kali bersua Qantan Biru Langit hatinya sudah menyanyikan lagu cinta. Dia bertuah kerana memiliki Karin sebagai ‘kabel jodoh’. Namun dia juga bernasib malang kerana tinggal jauh di Kota Perancis. Kata Rafael : Abang tak pernah jatuh cinta selama ni, Karin. Jadi abang tak tahu apa rasanya bila hati dipenuhi rasa cinta. Tapi aang boleh mengaku hati abang sudah dibawa lari oleh seorang perempuan bernama Qantan Biru Langit.

Khalid Zhafran – Pemain tenis bertaraf dunia. Hati beku, pendiam dan agak sombong. Pernah menjadi musuh kepada Razif Khusaini sewaktu berada di bangku sekolah. Amat terkenal dengan jolokan ‘kera sumbang’. Namun Qantan berjaya mengubah persepsinya terhadap erti sebuah persahabatan. Kata Khalid : Qantan Biru Langit satu dalam sejuta. Dia lain daripada perempuan di luar sana. Dia adalah teman terbaikku. Jadi salahkah apabila aku ingin mengubah frasa teman terbaik kepada kekasih terbaik?
__________________________________

Sepanjang membaca cerita ini, saya asyik terfikir; ‘secantik manakah Qantan Biru Langit ini?’ Ya lah, ketiga-tiga orang jejaka yang ingin merebut cintanya semuanya berdarah kacukan! Razif Khusaini kacukan Melayu-Jepun, Rafael Vivarte kacukan Melayu-Perancis, dan Khalid Zhafran pula kacukan Melayu-Swedish. Oh, beruntungnya si gadis bernama Qantan ini, dikelilingi cowok-cowok ganteng saja, aww! Hehehe…

Qantan Biru Langit adalah satu nama yang sangat pelik bagi saya, dan saya tidak pasti wujudkah orang yang bernama begini? Namanya begitu kerana ibunya suka bunga kantan, dan langit sewaktu kelahirannya sangat biru, itu sahaja sebab namanya begitu. Apabila usianya menginjak 24 tahun, keluarganya mula risau tentang jodohnya, dan kepada ahli keluarganya Qantan memberitahu: dia ingin mencari lelaki terbaik Malaysia untuk menjadi calon suaminya!

Dia bertemu semula dengan Razif, teman sewaktu di sekolah rendah dahulu yang telah kematian isteri dan punya seorang anak lelaki, Hafeez. Dia juga dipertemukan dengan Rafael, abang kesayangan teman baiknya merangkap teman serumahnya juga. Dan dia juga bertemu semula dengan Khalid, juga rakan sekelas ketika darjah enam, yang kini telah berjaya sebagai pemain tenis bertaraf dunia. Ketiga-tiganya ada kaitan antara satu sama lain, dan saling mencemburui satu sama lain dalam memenagi hati Qantan, TETAPI….ya…tetapi si Qantan ni kenapa la naïf sangat, langsung tak dapat mengesan rasa hati mereka, terutamanya Rafael, kesian kat Rafael…

Apabila tinggal ¼ lagi nak habis, saya mula tertanya-tanya, kesudahannya nanti Qantan akan pilih siapa? Padahal saya boleh je terus belek di muka-muka terakhir untuk mengetahui kesudahannya, namun saya tetap sabarkan hati dan teruskan membaca tanpa skip atau tengok belakang. Dan akhirnya, SURPRISE!!!

Hehehe…saya tak nak bocorkan di sini endingnya, nanti tak thrill orang lain nak baca. Apapun, pilihan Qantan bagi saya tepat…dan barulah saya terfikir, antara ketiga-tiga jejaka kacukan tersebut si dialah yang paling banyak diceritakan dalam buku ini, jadi kenapa saya tak boleh agak yang ‘dia’ lah ‘lelaki terbaik Malaysia’ untuk Qantan itu?  J

Tapi,kan..ada satu lagi kemusykilan saya yang tidak terjawab dalam buku ini : Hubungkait antara Razif-Rafael dan Rafael-Khalid. Semasa perlawanan terbuka di Malaysia, Razif terasa seperti dia pernah menemui Rafael sebelum itu, tapi sampai ke akhir cerita tidak ada pun penjelasan untuk hal tersebut. Begitu juga ‘pertarungan’ antara Khalid dan Rafael, tidak dinyatakan mengapakah mereka berdua seolah-olah berdendam antara satu sama lain.


Cabaran 50 Novel/Buku [5] : Suka Saya, Ya? Suka Saya, Tidak? (Manjlara)



Tajuk : Suka Saya,Ya? Suka Saya,Tidak?
Penulis : Manjlara
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Muka surat : 443


Sinopsis belakang buku :




Jodoh itu rahsia Allah
Allah pinjamkan dia buat aku mengenal cinta. Allah temukan dia untuk aku mengenal kaca dan permata. Andai bersua lagi, akan aku kotakan janji padanya. Tetapi benarkah, dialah pilihan hati?
Qisya Amni, gadis manis yang tinggal bersama ayah saudaranya sejak kecil. Walaupun tidak disenangi Mak Long Ainun, namun Pak Long Mukri sangat menyayanginya. Pada mata Qisya Amni itu tertulis cerita. Setiap kali memandang matanya, seakan turut mendengar kisahnya.
Membesarkan anak perempuan bagaikan memiliki harta yang dipinjamkan orang. Sampai waktu dan ketika, harta itu akan dikembalikan. Lalu dia mahu yang terbaik untuk anak saudaranya yang piatu itu. Tetapi bagaimana, jika hati Qisya menulis yang lain.
Kadang-kadang cinta boleh buat seseorang itu sesat. Kadang-kadang pula, cinta boleh buat seseorang mengembara.  Dan.. sang pengembara pula, pasti akan bertemu dari mana asal hatinya.
* * *
MANJLARA menulis tulus dan indah sekali. Membaca perasaan Qisya Amni bagaikan membuka jendela rasa seorang anak yang terpinggir. Menilik jiwa Qisya Amni umpama meneroka diari seorang perawan suci. Suka Saya, Ya? Suka Saya, Tidak? membawa anda belayar mencari cinta kasih sejati.

************************************************
Buku pertama yang berjaya dikhatam dalam bulan Februari, bulan cinta, hehehe… Sebuah karya yang manis, dengan lenggok bahasa yang indah dan alunan perasaan yang tersipu malu. Oh, apa yang saya karutkan ini? Itulah, terlalu asyik dengan garapan Manjlara kali ini, sampai saya rasa ingin mengulang baca buku ini lagi dan lagi dan lagi!

‘Suka Saya,Ya? Suka Saya, Tidak?’ – tajuk yang comel, secomel covernya, berlatarkan warna pink terang dihiasi bunga-bunga dan ladybird, rasanya inilah cover buku JS yang paling cantik, pada pandangan saya. Teruja dengan indahnya kulit depan buku ini, saya mengambil masa beberapa detik mengusapnya sambil terfikir “aduh, bagaimanalah rasanya andai buku seindah itu ada tertera nama saya sendiri sebagai penulisnya?” sebelum saya mulakan pembacaan.

Watak Qisya Amni polos amat, betul-betul membawa ingatan saya kepada Khalida dalam Nyanyian Tanjung Sepi, dan membuat saya tiba-tiba terasa rindu ingin membelek NTS semula. Lenggok bahasa Manjlara ada mirip gaya Noor Suraya, pada pendapat saya. Saya suka lenggok bahasa begitu; manis, santun, dan…entahlah, saya tak dapat mencari kata yang sesuai untuk gambarkan apa yang saya rasai, tapi yang paling pasti, saya amat menyenagi penulisan sebegitu.

Cerita ini mengisahkan tentang Qisya Amni, seorang gadis yatim piatu yang tinggal dengan Pak Long dan Mak Longnya dan 2 orang sepupu, Julia dan Lidya. Qisya Amni amat disayangi oleh Pak Longnya tetapi tidak disenangi oleh Mak Longnya. Qisya Amni selalu disibukkan dengan kerja-kerja rumah dan disisihkan oleh Mak Longnya dalam aktiviti keluarga (menonton tv, makan di luar dll). Pun begitu, Qisya Amni si gadis polos ini tidak pernah menyimpan rasa yang tidak enak buat ibu saudaranya, di dalam hati dia amat berharap suatu hari nanti dia akan diterima dan disayangi oleh Mak Longnya sepertimana Julia dan Lidya.

Qisya Amni sudah punya seorang kekasih hati, Hilmy, tapi nasib tidak menyebelahi Qisya Amni. Hilmy ditimpa kemalangan dan cedera parah hingga koma dan ibu Hilmy yang sudah lama tidak bersetuju dengan hubungan Qisya-Hilmy mengambil kesempatan memutuskan hubungan kasih sayang mereka.  Kasihannya Qisya Amni, sudahlah tidak disukai Mak Long, sedih mengenangkan Hilmy lagi, kini ibu Hilmy pula yang terang-terang menunjukkan rasa tidak senang kepadanya.

Kemudian muncul pula Azam Jufry, abang kepada Widya (Persis Sebutir Pasir). Keluarga Azam Jufry meminta seorang kenalan mencarikan jodoh buat Azam Jufry dan kenalan tersebut menemukannya dengan Qisya Amni. Dia pada mulanya berat hati mahu dijodohkan, namun demi pertama kali memandang Qisya Amni, hati lelakinya terus terpaut. Ya lah, siapalah yang tidak terpaut kepada Qisya Amni; cantik, sopan, pandai memasak dan polos amat. Tetapi Qisya Amni yang sedang bersedih tentang Hilmy telah berterus-terang dengan Azam Jufry, dan demi ‘rasa’ yang telah bertunas dalam hati Azam Jufry, dia ingin terus bersama Qisya Amni, sebagai abang dan adik.

Wafi Ilya, abang seibu kepada Hilmy pula muncul untuk membantu merawat Hilmy. Wafi Ilya adalah pelajar perubatan di Mesir. Semasa berada di hospital, beliau telah bertemu dengan Qisya Amni. Meskipun pertemuan mereka singkat sahaja, tapi sudah cukup untuk menerbitkan rasa cinta di hati Wafi Ilya buat Qisya. Perasaan dan hasrat itu dipendam olehnya sehinggalah setelah Hilmy pergi buat selamanya barulah diluahkan kepada Qisya.

Satu hal yang saya kurang berpuas hati di dalam cerita ini ialah tentang Mak Long Ainun, ibu saudara Qisya Amni. Kenapa dia tidak sukakan Qisya Amni? Saya berteka-teki sepanjang pembacaan dan tidak sabar-sabar ingin sampai ke muka terakhir untuk mengetahuinya, namun sehinggalah ke noktah terakhir tidak juga dinyatakan punca kebencian Mak Long Ainun kepadanya. Kenapa, ya? Atau, sayakah yang terlepas pandang? Nantilah, akan saya ulang baca buku ini, di masa akan datang, insyaAllah.

Oh, ya, satu hal lagi! Saya rasa nak tergelak bila baca ejaan perkataan Kelab PERIA Patah Hati, sebab apabila kata ‘pria’ dari Indonesia itu dieja begitu, saya terus terbayangkan sayur peria, hahaha..

Untuk mengetahui peria yang mana dapat memiliki cinta Qisya Amni, bacalah Suka Saya,Ya? Suka Saya,Tidak?, insyaAllah berbaloi dan anda akan menamatkannya dengan senyum berbunga J


Sunday, February 6, 2011

Cabaran 50 Buku/Novel [4] : 3 Jantung Hati (Nisyah)



Tajuk : 3 Jantung Hati
Penulis : Nisyah
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Muka surat : 452

Sinopsis belakang buku:

menahan diri daripada menerima Nadim samalah seperti menelan paku payung

Benarkah cinta seorang perempuan terhadap seorang lelaki itu seumur hidupnya? Biarpun lelaki itu telah tiada di alam fana ini, benarkah cintanya tidak pernah berusik? Biarpun waktu berlalu, benarkah kasihnya takkan berubah?
Lalu bagaimana pula andainya muncul seorang lelaki lain yang setara? Kalaupun tidak lebih baik daripada si jantung hatinya yang telah pergi itu, apakah cintanya akan beralih arah? Susahnya memahami hati perempuan, kadang-kadang dalamnya tidak terduga; kadang-kadang berkata ‘ya’ di dalam, di luar tetap mengaku ‘tidak’!
Sukar sungguh hidup Nadira setelah suaminya mati, meninggalkan dia merana bersama anak kecil si jantung hatinya. Ah, bertambah sukar hidupnya setelah menjadi ibu tunggal itu, tiba-tiba muncul dia! Dia yang berebut mahu jadi jantung hatinya yang ketiga. Sanggupkah dia membiarkan hatinya diisi lagi, kalau kasihnya pada Imran sudah penuh?

* * * *

NISYAH menulis tentang hati seorang perempuan yang tersepit antara kenangan cinta lama dengan munculnya ‘orang baharu’ yang begitu mengharap cintanya.NISYAH begitu berhati-hati membuat keputusan dalam 3 Jantung Hati untuk mengubah hidup Nadira selamanya.

***************************************************************** 

Usai membaca Sweet Sour, saya pilih untuk membaca 3 Jantung Hati pula, atas saranan seorang kawan. Wah, bagusnya mood membaca saya waktu itu, habis satu buku terus sambung buku yang lain pula! Harap-haraplah ‘angin rajin’ begitu akan berterusan bertiup dalam tahun 2011 ini J

Ceritanya tidak terlalu berat, membuatkan saya tidak perlu berfikir banyak sepanjang membaca buku ini. Saya sukakan watak Nadira yang sangat tebal sifat keibuannya dan sangat pandai memasak, terhibur dengan gelagat Nadim Syah yang angau ibarat remaja 18 tahun setelah jatuh cinta pada Nadira walhal usianya sudah 38 tahun, dan jatuh kasihan pada Ensha Hani anak kecil yang sangat rindukan kasih seorang ayah. Pada awalnya saya sedikit jengkel dengan Nadim Syah, yalah, belum pun lama kenal dah panggil sayang kat Nadira. Namun lama-kelamaan rasa jengkel itu hilang sedikit demi sedikit apabila dia sangat pandai mencuri hati Nadira dan Ensha Hani. Huh, si Nadim ni memang kategori pencuri hati kelas satu lah, mulut manis dan tak kenal erti putus asa, kalau saya pun boleh cair rasanya, hahaha.

Konflik berlaku apabila ibu Nadim Syah, Puan Sri Suhaida menghalang perhubungan Nadim dan Nadira kerana beliau ingin menjodohkan Nadim dengan anak Datin Muhaini, Sofea. Huh, nasib baik la si Sofea ni tak suka kat Nadim (sebab dia dah ada orang lain), menjadikan cerita ni tak sama dengan cerita-cerita lain yang ada watak perempuan lain nak merebut hero daripada heroin. Saya seronok sangat dengan hal yang terjadi semasa majlis pertunangan Nadim-Sofea, rasa nak gelak kuat-kuat kat Puan Sri Suhaida dan katakan ‘padan muka’ kat dia, hahaha. Oppss, Nadim dan Sofea bertunang? Saya tak nak jawab, anda bacalah sendiri ya J

Dari segi gaya bahasa penceritaan, bagi saya Nisyah sudah menulis cerita ini dengan sebaik mungkin. Cuma pada pendapat saya (ini pandangan saya saja, ya) sekiranya Nisyah menyingkap lebih banyak rasa kasih Nadira yang masih utuh buat arwah Imran, dan betapa dia rasa berbelah bahagi untuk menerima Nadim kerana ingin terus setia kepada Imran, emosi pembaca akan jadi bertambah tersentuh.

Secara keseluruhannya, saya suka 3 Jantung Hati, dan jika ada karya seterusnya daripada penulis ini, saya tidak akan teragak-agak untuk mendapatkannya J


Saturday, February 5, 2011

Cabaran 50 Novel/Buku [3] : Sweet Sour (Nasz)



Tajuk : Sweet Sour
Penulis : Nasz
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Muka surat : 570 m/s

Sinopsis belakang buku:


A  Yang manis, harum lagi wangi itu Zarul 
Kira orang ni taraf cincin gula-gula ni ajelah.”
“Sepuluh ringgit tu.” Sungguh-sungguh dia cakap.
“Berkira... baru sepuluh dah kecoh... bukannya seribu pun.” Aku jeling dia.
“Banyak cakap pula... kalau tak nak bagi balik.” Dia hulur tangan kiri. 
Tak tahu pula macam ni punya seronok apabila dapat cincin... walaupun hanya cincin gula-gula.
“Ni kira orang ‘cuplah’ ni.” Sambung dia lagi.
Aku simpan senyum. Tak boleh senyum depan-depan ni, nanti dia perasan!

B  Yang pahit, masam, masin, payau itu Joe Jambul 
Bayar cincin ni.” Kata dia. Betul ke ni, apa yang aku tengah dengar ni.
“What?” aku terjerit di situ.
“Pay for this.” Relaks aje dia mengarah aku lagi.
“Okey... saya bayar!” Aku jeling dia.


Tapi kan, juling biji mata aku tengok bil RM10 000 kat Tiffany tu. Gila ke apa? Batu planet mana dia pakai buat cincin bodoh ni!
* * *
Kenapa Zarul dan Joe Jambul sangat berbeza di hati Lia?
Gali jawapannya dalam Sweet Sour. Karya NASZ ini sungguh warna-warni dan santai persembahannya, anda tentu terpesona!

******************************************

Novel ini betul-betul masuk dalam kategori ‘tak boleh lepas’ bagi saya! Haha, kesian sungguh kat saya, orang lain dah berkurun riuh pasal novel ni best (di pasaran pada Mei 2010), tapi hanya selepas hampir 8 bulan barulah saya tergelak sorang-sorang syok membaca buku ni! Tapi tidak mengapa, better late than never – kata orang kampung saya, hehehe…


Satu lagi kisah kahwin paksa, tema novel yang rasanya tak pernah surut peminatnya, termasuklah salah seorangnya adalah saya sendiri. Sungguh, sebelum membaca buku ini, saya langsung tidak tahu yang ceritanya tentang percintaan selepas kahwin a.k.a benci berubah menjadi cinta. Pernah rakan-rakan yang ‘hantu novel’ memberitahu buku ini sangat best, tapi tidak pula saya bertanya jalan ceritanya pada mereka. Bagus juga, sebab curiosity untuk tahu perkembangan cerita membuatkan saya asyik dan tidak sabar-sabar mahu menghabiskannya secepat mungkin.


Saya tidak berminat untuk mengulas secara detail tentang jalan cerita Sweet Sour, cukuplah saya katakan sekiranya anda adalah peminat cerita bertemakan perkahwinan tanpa rela, percintaan selepas kahwin, perasaan benci yang bertukar rindu dan cinta, serta gaya penceritaan yang santai, humor, dan kadangkala ‘sweet’, anda pasti akan menyukai novel ini.

Cuma satu saja, buku ini bagi saya tidak sesuai dibaca oleh golongan remaja, kerana terdapat beberapa part ‘mesra’ antara Lia dan Joe, yang saya berasa agak pelik ditemui pada buku keluaran penerbit ini, namun saya pasti pihak penerbit pastinya telah membuat pertimbangan sewajarnya untuk hal ini.

Apapun, usai membaca buku ini, saya rasa tak sabar-sabar ingin memiliki karya lain oleh penulis ini, nama Nasz telah tersenarai dalam penulis WAJIB BELI oleh saya J

Cabaran 50 Novel/ Buku [2] : Jet Jonah (Ika Madera)



Tajuk : Jet Jonah
Penulis : Ika Madera
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Muka surat : 528 m/s

Sinopsis belakang buku:
I
London, 2007
“Tak ada apa pelan!”
“Whoaaa whoaaa,
 kau dah suruh aku bangun pagi-pagi, datang ke sini! Terang fasal tu dan terus balik? Mana aci!”
“Habis tu?”
“Kita pergi jalan-jalan!” usul Jet.
“Ke mana?”
“Ahah!
 Biar Kapten Jet jadi pemandu pelancong anda hari ini ya?”
Jonah tertawa mendengar nada suara Jet yang dibuat ala-ala suara Captain Planet pula. Kartun kegemaran mereka berdua waktu kecil dahulu!

Ya, biarlah Kapten Jet yang mengemudikan hati itu ke hati ini!
II
1 Syawal, 1428
Cantiknya Jonah berbaju kurung warna merah jambu, cair hati Jet: macam manalah tak jatuh hati. Rupanya, hati Ikhwan yang dipautnya.
“Izzat, dengar tak apa emak cakap ni? Senyap saja kamu?”
“Tak dengar. Maaf, Izzat penat sangat rasanya.”
“Hmm...
 berehatlah. Tak pergi ke mana-mana ke hari ini?”
“Rumah Kak Melati tadi.”
“Ohhhh, jumpalah Jannah sekali? Sihat dia?”



Sihatlah emak! Orang lain bahagia bercinta, anak emak yang merana sekarang ini!


Ika Madera penulis dari Kota Singa ini menggunakan bahasa Melayu Nusantara yang unik. Caranya bercerita membuat senyum melekat di bibir. Jet Jonah- sebuah kisah cinta kasih saying yang manis berlatarkan masyarakat Melayu di Kota London.


Kali pertama membaca synopsis belakang buku di laman web Jemari Seni, hati bagai tak tertahan untuk memiliki buku ini! Biarpun nama Ika Madera tidak pernah saya temui pada mana2 kulit buku sebelum ini, tapi kalau sesebuah buku tersebut diterbitkan oleh penerbit yang satu ini, hati saya kurang was-was untuk membelinya.

Al-kisahnya buku ni keluar time cuti sekolah yang lalu (hujung tahun) dan saya sudah tentulah berada di Terengganu waktu itu. Aduh, kalau nak tunggu sampai di kedai buku, pasti lambat yang amat! Kalau nak order online, saya bimbang kedapatan oleh Cikgu Ramlah, huhuhu… Kedai buku yang paling awal ada buku ini di Terengganu, yang saya pasti hanya Kedai Buku Popular, dan kedai buku yang satu ini letaknya di dalam Mesra Mall, nun jauh di Kerteh, sedangkan saya tinggal di daerah Marang, perjalanan yang jauhnya memakan masa hampir 2 jam! Kebetulan, pada masa itu adik saya yang kedua baru saja beli kereta, dan dia mahu mencapai mileage 1000km sebelum sesi persekolahan dibuka (nak servis kereta). Lalu saya pun mencadangkan idea cemerlang mengajaknya jalan2 sampai ke Mesra Mall, dan cadangan itu disambut dengan ‘setuju tanpa banyak soal’, hehehe. Jadi, dapatlah jugak saya beli buku ini, untuk dijadikan ‘bekalan’ sepanjang penerbangan Kuala Terengganu-Kuala Lumpur-Tawau.

Cerita ini bertemakan kasih sayang dua sahabat yang akhirnya berubah kepada rasa cinta. Jet atau Izat telah berkawan dengan Jonah atau Jannah semenjak kecil lagi. Mereka terpisah setelah keluarga Jet berpindah dan tidak pernah bertemu lagi selepas itu. Jet yang idak pernah melupakan Jonah mencuba untuk mencari Jonah di laman sosial Facebook dan pencariannya berjaya,  dan rupa-rupanya mereka berdua berada di tempat yang sama- Kota London! Cerita disampaikan berselang-seli dengan imbasan masa lalu zaman kanak-kanak Jet dan Jonah yang tersangatlah nakal. Ketika membaca part2 flashback ni, saya terfikir bagaimanalah kalau berada di tempat ibu dan bapa Jonah, nakal sungguh anak perempuan mereka tu, macam anak laki-laki lagaknya!

Apabila sampai di bahagian-bahagian Jet mengikut usul sahabatnya, Ikhwan dalam memastikan perasaannya dan Jonah, serta aksi-aksi merajuk dan cemburu Jet kepada Ikhwan, saya tak dapat menahan daripada tersenyum sendiri, haha, lantaklah orang sebelah seat saya nak fikirkan apa!

Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan cerita Jet Jonah, ada tawa, ada air mata dan ada juga perkara yang boleh dijadikan renungan oleh pembaca. Paling saya sukai ialah settingnya di Kota London, kota impian yang teramat ingin saya kunjungi suatu hari nanti, jika diizinkan Tuhan J

Cabaran 50 Novel/Buku [1] : Tariq Penakluk Andalusia (Abdul Latip Talib)


Tajuk : Tariq Penakluk Andalusia
Penulis : Abdul Latip Talib
Penerbit : PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Muka surat : 245

Sinopsis belakang buku:

“Di belakang itu lautan, di depan kita musuh. Kita harus memilih kemenangan atau syahid. Kita tidak akan pulang sebelum mencapai tujuan itu!”
Itu antara ucapan Tariq bin Ziyad kepada perajuritnya ketika mereka menakluk Andalusia (Sepanyol).
Anak kecil yang dijual sebagai hamba kepada Musa bin Nusair ini membesar menjadi seorang panglima perang yang hebat. Beliau diajar bermain senjata dan menunggang kuda sejak kecil. Kepimpinan dan ketangkasan yang ada padanya membuatkan Musa bin Nusair melantiknya menjadi Ketua Panglima bagi 12 ribu tentera Islam bagi menawan Andalusia.
Tariq bin Ziyad adalah lambing kegemilangan Islam. Oleh sebab keberaniannya, sebahagian benua Eropah disinari cahaya Islam. Namanya turut diabadikan menjadi nama sebuah bukit di Tenggara Sepanyol, iaitu Gibraltar atau Jabal Tariq. Novel ini menceritakan lebih lanjut berkenaan kehebatan panglima Islam ini.
**********************************************************

Inilah buku pertama yang saya baca dalam tahun 2011 ini, novel sejarah Islam pertama yang pernah saya baca dan novel pertama juga daripada penulis yang juga dikenali sebagai Pak Latip yang saya baca. Sebelum ini sudah banyak kali saya melihat novel-novel sejarah daripada penulis ini tersusun rapi di rak-rak di kedai-kedai buku yang saya kunjungi, dan biasa juga saya lihat terpapar di laman-laman internet yang menjual buku secara online, tapi saya belum berminat lagi untuk membelinya pada masa itu. Pada cuti akhir tahun 2010, saya telah bertemu dengan seorang teman rapat semenjak di sekolah menengah, dan beliaulah yang mencadangkan untuk saya membaca karya-karya sejarah Islam oleh Pak Talib. Dan dalam banyak-banyak karya beliau, saya tertarik untuk memulakan dengan buku ini : Tariq Penakluk Andalusia.

Buku ini nipis sahaja (295 m/s), jika dibaca bersungguh-sungguh pasti boleh dihabiskan dalam masa beberapa jam sahaja. Tapi saya mengambil masa 2 hari juga untuk menghabiskannya, aduh, teruk sungguh prestasi membaca saya sekarang ini!

Buku ini menceritakan kronologi penaklukan Andalusia oleh tentera Islam di bawah pimpinan Panglima Tariq bin Ziyad, bermula daripada kekecewaan Panglima Julian, Gabenor Ceuta apabila anak gadisnya, Florinda membunuh diri selepas diperkosa oleh Raja Roderiga, pemerintah Andalusia yang berbangsa Gotik pada masa itu. Rasa marah dan dendam Panglima Julian terhadap Raja Roderiga telah membawa beliau ke Afrika menemui Musa bin Nusair, wakil Khalifah al-Walid bin Abdul Malik untuk meminta bantuan memerangi Raja Roderiga yang kejam, zalim dan bernafsu buas.

Kedatangan Panglima Julian memohon bantuan bagaikan pucuk dicita ulam mendatang kepada kerajaan Islam, kerana sememangnya kerajaan Islam memang bercita-cita untuk memperluaskan empayarnya ke benua Eropah. Musa bin Nusair telah melantik Panglima Tariq bin Ziyad untuk mengetuai angkatan tentera seramai 12 ribu orang untuk meninjau dan merisik keadaan di Andalusia dan mereka telah berjaya sampai ke sana dengan bantuan Panglima Julian.

Bermula dari bab pertama sehingga bab terakhir menceritakan rentetan peristiwa dan detik-detik penaklukan Andalusia oleh tentera Islam di bawah pimpinan Panglima Tariq bin Ziyad. Saya sedkit kecewa kerana pada sangkaan saya buku ini menceritakan biografi Tariq bin Ziyad; bermula daripada detik kelahiran beliau sehingga beliau meninggal dunia. Namun rasa kecewa itu terubat dengan cara pesembahan cerita sejarah yang tidak membosankan, penyampaian bukan secara fakta semata-mata. Tidak mengapalah, mungkin saya boleh membaca biografi tokoh ini melalui sumber-sumber yang lain pada masa akan datang.

Apa yang penting, sekurang-kurangnya saya dapat mengetahui sedikit sebanyak mengenai sejarah penaklukan Andalusia, serta sedikit tentang keperibadian dan ketokohan Panglima Tariq bin Ziyad melalui buku ini. InsyaAllah, saya akan dapatkan buku-buku lain daripada penulis ini pada masa akan datang, dan semoga Allah memberi ganjaran terbaik buat beliau dan juga pihak-pihak yang terlibat dalam usaha menerbitkan karya yang bermanfaat begini, insyaAllah.

Cabaran 50 Novel/ Buku Setahun


Mood membaca saya agak baik setakat awal tahun 2011 ini jika nak dibandingkan dengan tahun lepas yang memang sangat teruk. Sebenarnya boleh dikatakan saya 'memaksa' diri untuk 'memulihkan' tabiat membaca saya yang semakin lama semakin 'tenat', semenjak saya memasuki alam pekerjaan. Pun begitu, saya tidak menetapkan bilangan buku yang perlu saya 'khatam' dalam masa sebulan, apatah lagi setahun! Sehinggalah...ya, sehinggalah beberapa hari yang lalu saya rasa terpanggil untuk menjengah ke blog seorang ulat buku yang sudah sekian lama tidak saya kunjungi, iaitu Kak Wan. Dan, demi terlihat program Cabaran 50 Novel / Buku Setahun yang dimulakan oleh beliau dan Adhan, dan sudah ada beberapa orang 'peserta', saya tidak teragak-agak lagi untuk turut serta! 

Syaratnya mudah sahaja, namun perlu disahut dengan sedikit 'kerajinan' (bagi saya la..), terutamanya dari segi menyediakan ulasan buku yang dibaca dan di'post' di blog; sesuatu yang menjadi rutin dan kegemaran saya suatu waktu dulu! Seperti yang sudah diingatkan oleh Kak Wan, tiada yang akan dinobatkan pemenang atau juara, program ini adalah untuk meningkatkan semangat untuk membaca, memberi manfaat kepada yang ikut serta, dan membudayakan sikap suka membaca dalam masyarakat Malaysia.

Harap2 saya boleh mencapai target 50 buah novel/buku bagi tahun 2011 ini, aja-aja fighting!! Dan kepada teman-teman yang membaca coretan ini, jom la sertai kami!  :)