Thursday, July 28, 2011

Cabaran 50 Novel/Buku [16] : Tiga Ceritera Dalam Sebuah TINTA (Nasron Sira Rahim, Syud, Pingu Toha))


Tajuk : Tiga Ceritera Dalam Sebuah TINTA
Penulis : Nasron Sira Rahim, Syud, Pingu Toha
Penerbit : Jemari Seni Sdn. Bhd.
Muka surat :


Sinopsis kulit buku :
Ceritera 1 - Wajah Ketiga ~ Nasron Sira Rahim
Hatinya ditusuk rasa sedih, kecewa dan amarah yang tidak berkesudahan. Bagaikan ditusuk sembilu, kebahagiaan mereka menatijahkan luka yang pedih dan mendalam dalam sanubarinya. Keperitan yang terpaksa dia pendam sehingga membuahkan pohon kesengsaraan yang bercambah rendang.
Apakah maksud di sebalik jujukan kod-kod nombor itu?
Mungkinkah dia salah seorang mangsa Pembunuh Obituari?
Ceritera 2 - Dia, dalam Ramai... ~ Syud
Ramai orang kata, kadang-kadang, perkara yang paling kita tak jangka itulah yang akan terjadi pada diri kita.
“Sufiy.”
“Ya?”
“Nama saya Ameer.”
“Oh. Jumpa lagi, Ameer.”
Siapa sangka, kan? Siapa sangka orang yang dia sangka hilang atau memang dah tak akan jumpa itu... muncul lagi di hadapan matanya?
Ceritera 3 - Ada & Evan ~ Pingu Toha (seperti diceritakan oleh Kiki Abu Zain)
 Boleh ke kita hidup pakai hukum ‘and they live happily ever after’?
Ada; yang sudah penat dengan cinta. Evan; yang begitu naif tentang cinta. Mereka cuba disatukan oleh ‘janji tadika’ abah dan ibu. Mereka bertemu di ruang maya. Di realiti, mereka mencari. Demi ‘Katakan Tidak kepada Kahwin Paksa’, mereka berjanji.
Lalu, yang mengikat mereka itu apa? Janji atau cinta?
_________________________________________________________

Apa kata saya :
Sebab paling utama saya membeli buku ini adalah kerana ada karya SYUD! Di antara ketiga-tiga penulis yang bergabung dalam buku ini, Syud lah yang paling saya minati, dan tidak ingin ketinggalan memiliki karya-karyanya. Nasron Sira Rahim juga saya senangi karya beliau, setelah mencuba karya pertama beliau dengan JS iaitu Nama Atas Kertas, dan ada sedikit rasa teruja untuk membaca Wajah Ketiga kerana ada disebut tentang ‘Pembunuh Obituari’ pada sinopsis kulit buku. Saya jadi tertanya-tanya, adakah Wajah Ketiga ini kesinambungan Nama Atas Kertas? Pingu Toha pula bagi saya penulisan beliau kurang sesuai dengan selera bacaan saya, apabila saya mencuba karya pertama beliau – L.U.V.E – dan saya tak pernah khatam buku itu hingga ke hari ini…tapi oleh kerana Ada & Evan turut sama ‘terselit’ di dalam buku ini, saya baca juga, lagipun ceritanya tidaklah panjang sangat.

Dan akhirnya, usai membaca ketiga-tiga ceritera, telahan awal saya ternyata tidak semuanya benar. Karya Syud seperti biasa, tetap unggul menjuarai carta citarasa saya (untuk perbandingan 3 cerita ini). Syud masih mengekalkan gaya penceritaan yang sama; santai dan menghiburkan, ada beberapa watak yang telah ‘dikenali’ daripada karya-karya beliau yang terdahulu seperti Azril dan Lisa, menjadikan cerita ini lebih dekat di hati pembaca-pembaca setia Syud. Ada beberapa bahagian yang sangat kuat ‘melekat’ pada hati dan fikiran saya (termasuk kawan-kawan yang turut membaca cerita ini) seperti adegan Ameer menjeritkan kepada Sufiy “nama saya Ameer” kemudian diolok-olok oleh Farhana dengan nada ucapan Rain dalam iklan syampu Clear, dan yang paling membuatkan saya tergelak besar ialah ucapan tuju lagu oleh Ameer kepada Sufiy dengan lirik lagu Dayangku Intan, Semakin Rindu Semakin Sayang (padahal adik Ameer yang buat naya kat dia), siap dengan kata-kata: sufiy, di sini abang setia menunggu…huhu, setiap kali dengar lagu tu kat radio, saya tak dapat tahan diri daripada senyum sorang-sorang!

Wajah Ketiga, karya Nasron Sira Rahim masih mengekalkan genre suspense thriller seperti sebelumnya. Saya mengharapkan cerita ini berkisar tentang beberapa watak Nama Atas Kertas seperti Aswadi Hamzah, Inspektor Faiz dan Hanim, tapi hanya watak Inspektor Faiz sahaja yang ‘dibawa’ ke Wajah Ketiga. Pun begitu, ceritanya tetap menarik, misterinya tetap ada untuk diselesaikan.

Ada & Evan mengubah persepsi saya hampir 100% terhadap Pingu Toha! Tahniah Pingu, Ada & Evan benar-benar ‘menarik’ hati dan mata saya untuk menoktahkan pembacaan hingga ke titik yang terakhir! Biarpun kandungan ceritanya hanyalah kiriman emel antara Ada dan Evan, tapi saya rasa cukup puas membacanya. Watak Ada dan Evan ada mirip watak-watak dalam drama Korea yang menonjolkan watak hero yang agak ‘lembik’ tapi ‘cute’ manakala watak heroinnya seorang yang selamba dan tahan diuji tapi masih tetap berjiwa sentimental. Adegan berbalas makanan menggunakan khidmat kurir dan karipap bapa Evan yang berubah inti benar-benar mencuit hati, ‘cute’ sungguh idea Pingu ni, hahaha! Selesai membaca Ada & Evan, saya terfikir untuk menyempurnakan bacaan naskhah L.U.V.E yang sudah lama terperuk dalam laci almari rumah di kampung, entahkan sudah jadi apa ya buku tu agaknya? ^_^


Wednesday, July 27, 2011

Cabaran 50 Novel/Buku [15] : Dia & Dia (Bunick Firdaus)


Tajuk : Dia & Dia
Penulis : Bunick Firdaus
Penerbit : Jemari Seni Sdn. Bhd
Muka surat :

Sinopsis kulit buku:
“Dia hadir dalam hidupku untuk menyembuhkan rawan yang bersarang di dada. Sedangkan dia yang pernah hidup dalam hatiku ini terpaksa mengusung dukanya sendirian. Kejamkah aku pada dia andainya aku tidak mampu mencintai dia sepertimana aku mencintai dia yang seorang lagi?”
Cinta dan kasih yang saling menagih; yang mana satu pilihan Arissa?
Mahupun Irfan biarpun Fazril; dia dan dia sering sahaja membuat hati gadisnya keliru. Telah pun Arissa cuba melarikan hatinya ini jauh-jauh, dayanya entah hilang di mana? Apa yang tidak kena dengan hatinya yang sekeping ini?
Dia memang lelaki penyayang. Namun selembut mana pun dia cuba mengubati hati Arissa yang luka, mana mungkin Arissa melupakan cinta pertamanya. Apatah lagi pada saat Arissa hampir menggapai bahagia, ujian pula datang bertimpa-timpa!
Antara memori dan harapan, yang mana satu jadi pilihan? Antara dikasihi dan mencintai, yang mana satu harus dicari?
Nukilan pertama BUNICK FIRDAUS ini cuba menyelami bilau hati seorang wanita pada dia yang mahu berkongsi hati dengannya. Bukankah ‘keliru’ itu maknanya hati sudah tersentuh? Biarlah Dia & Dia menjelaskan semuanya!
___________________________

 Dia & Dia berkisah tentang percaturan jodoh tiga watak utamanya- Arissa, Irfan dan Fazril. Bermula sebagai sahabat, akhirnya membibitkan perasaan lain antara Fazril dan Arissa, dan mereka mula menganyam impian bahagia bersama, sehinggalah Fazril ‘terpaksa’ menarik diri dan mengecewakan hati Arissa. Pun begitu, kasihnya tetap utuh buat Arissa seorang. Sedang hati Arissa luluh dan kecewa, hadir insan misteri ‘EP’ menghadiahkannya senaskhah buku ‘Jangan Bersedih’ dan identiti ‘EP’ akhirnya terdedah. Huluran persahabatan daripada ‘EP’ disambut baik oleh Arissa, namun apabila si dia menghulur kasih, Arissa ragu-ragu dan tidak bersedia, di hatinya masih ada Fazril, cinta pertamanya. Tapi ‘EP’ a.k.a Irfan bukanlah seorang yang mudah berputus asa, kasih Arissa terus diburu dan dirayu; Arissa adalah cintanya yang pertama. Dan, di kala Arissa mahu berkata ‘ya’ kepada huluran kasih Irfan, sesuatu telah berlaku kepada Fazril, yang meruntun hati Arissa untuk kembali kepadanya. Siapakah akhirnya yang menjadi pilihan Arissa?

Apa kata saya :
Setelah berbulan-bulan Dia & Dia menghuni almari buku, barulah saya tergerak hati untuk membacanya. Bermula daripada bab pertama, saya teruskan pula ke bab dua, tiga dan seterusnya. Sungguh, saya telah tersalah tanggapan terhadap buku ini sebelum ini, padahal saya belum pun mula membacanya dan belum pernah mengikuti karya Bunick Firdaus (di internet). Sangka saya, buku ini ceritanya dan gaya bahasanya melankoli, ternyata sangkaan saya jauh meleset kerana bahasanya sangat santai dan isinya bukan air mata semata-mata!
Tentang jalan ceritanya, saya akui pada awalnya saya ‘kurang’ suka, namun lama-lama saya dapat menerimanya, kerana apa yang berlaku antara Arissa-Fazril-Irfan tidak mustahil berlaku dalam dunia realiti. Tindakan Irfan mungkin dianggap bodoh, malah mungkin kejam, namun begitulah, setiap orang bertindak berbeza-beza dalam menzahirkan rasa cinta dan membahagiakan orang yang dicintai. Dan, kisah Arissa-Fazril-Irfan dalam Dia & Dia ini juga adalah satu contoh untuk sebuah hakikat; betapa hal jodoh manusia itu sesuatu yang sungguh rahsia!
Tahniah buat Bunick Firdaus, kesudahan Dia & Dia mungkin tidak menepati citarasa sesetengah pembaca, dan bagi saya anda adalah penulis yang berani kerana ‘tega’ untuk menoktahkan Dia & Dia dengan penamat sedemikian. InsyaAllah, jika ada lagi karya anda selepas ini, saya tidak akan ragu-ragu untuk memilikinya ^_^

Friday, July 1, 2011

Cabaran 50 Buku [14] : Blues Retro (Imaen)



Tajuk : Blues Retro
Penulis : Imaen
Penerbit : JS Adiwarna Sdn. Bhd
Muka surat : 351

Sinopsis belakang buku:

... empat semester yang indah...
Nasi lemak buah bidara,
    Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
    Kerana kasih hamba turutkan.

“Ghazi, kita kahwin lari!” kata Nik Farhana. 
Hampir tersembur jus tembikai daripada mulut Ghazi. 
“Apa dia?”
“Kita kahwin lari.” Suara Nik Farhana berbunyi serius.
“Hana jangan main-main!”
“Saya serius ni!”

Berjayakah Ghazi, siswa antropologi dan Nik Farhana, siswi perubatan di Universiti Lembah Pantai kahwin lari ke sempadan Siam?


IMAEN memang diakui pembacanya sebagai penulis yang punya bahasa yang mantap lagi tajam. Kini lulusan Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya beralih arah, bertekad mahu memperkenalkan semula sastera remaja yang indah dan berisi pada generasi MTV dan Facebook.


Apa kata saya:
Saya sangat suka buku ini! Jalan ceritanya ringkas, bahasanya ‘mantap lagi tajam’ (pinjam kata-kata di blurb buku), ada adunan pelbagai rasa (sedih, lucu, geram, simpati) dan paling penting – ada mesej yang berguna untuk disampaikan kepada pembaca.

Saya sememangnya amat menyenangi penulisan Imaen. Setakat ini saya sudah membaca semua karya Imaen yang diterbitkan oleh Jemari Seni. Biarpun kadang-kadang ada juga perkara yang tidak saya fahami disebut di dalam novelnya, saya tetap menyukainya. Pelik, kan? Mungkin faktor utamanya ialah saya menyukai gaya bahasa yang digunakan oleh beliau, kadang puitis tapi tegas, kadang sinis tapi berisi.

Di antara semua karya beliau yang pernah saya baca, Blues Retro yang paling saya suka setakat ini. Jalan ceritanya ringkas sahaja, kisah cinta antara dua darjat, antara Ghazi mahasiswa jurusan antropologi si penjual burger, dan Nik Farhana mahasiswa perubatan si berada berdarah kerabat. Percintaan mereka sudah pastinya mendapat tentangan daripada keluarga Nik Farhana, dan kerana itulah ada adegan berlawan dalam BR, tapi tidak melibatkan mana-mana kumpulan gangster atau mafia seperti cerita-cerita sebelum ini (mungkinkah Imaen suka hero ceritanya handal berlawan dan pantang dicabar?).

Membaca BR membuat saya ketawa, tersenyum, geram, berfikir (dan mungkin juga tersedar tentang beberapa perkara) selain berasa kagum (dan cemburu?) dengan bakat penulisan graduan jurusan ekonomi ini. Saranan saya kepada yang masih belum membaca BR, jangan menilai buku daripada kulitnya; ini bukan buku kanak-kanak, ini adalah buku untuk orang dewasa, bacalah dan hayatilah mesej yang tersirat di dalamnya.


**membaca buku ini juga buat saya rasa lapar nak makan burger, tapi burger tak baik untuk kesihatan, kolesterolnya mungkinkah juta-juta? (^_^)


Cabaran 50 Buku [13] : Langsir Biji Remia (Noor Suraya)



Tajuk : Langsir Biji Remia
Penulis : Noor Suraya
Penerbit : JS Adiwarna Sdn. Bhd
Muka surat : 263

Sinopsis kulit buku:

Duha, pandanglah mataku yang berbisik... Kalau hati ini memang sebatang pena, tintanya tentulah daripada pelangi tujuh warna 
lalu kenapa tidak saja dikirimkan sepucuk surat cinta pada dia?  

Duha Hafa anak tunggal Dr. Hud Othman dan Puan Taslima. Dia cantik dengan mata bundar sayu seperti mata unta di padang pasir. Umair terpikat sejak dia masih kecil lagi. 

Sepuluh tahun berlalu dan mereka bertemu semula. Kini Duha Hafa sudah memakai purdah hitam, dan dia bukan lagi gadis periang dan ramah. Kenapa dia berubah? Apa yang tersembunyi di sebalik purdah hitam itu? 

Langsir Biji Remia mengajar kita bersyukur dengan nikmat daripada Dia.
 _______________________________________________________


Apa kata saya:

Usai membaca  LBR, saya bagai hilang kata-kata untuk mengulasnya bagaimana. Sehingga saat saya menaip entri ini pun, saya masih tercari-cari kosa kata paling sesuai untuk berbicara tentang buku ini. Karya-karya Noor Suraya bagi saya amat sinonim dengan susunan kata yang indah dan manis, tidak terkecuali juga bagi LBR. Pun begitu, setiap kali membaca karya beliau, bukan sahaja kata-kata yang indah yang saya cari, tapi juga mesej yang ingin disampaikan oleh beliau lewat karya-karyanya.

Dalam LBR, isu yang diangkat ialah tentang memartabatkan sastera Melayu dan persepsi tentang kecantikan. Sebagai seorang yang arif tentang bidang Bahasa Melayu, serta amat mencintai warisan bangsa ini, Noor Suraya berusaha untuk menyedarkan pembaca tentang pentingnya menjaga dan memartabatkan Bahasa Melayu melalui LBR, apabila beliau menggambarkan kecintaan Duha Hafa terhadap kesusateraan Melayu. Sungguh, sedikit sebanyak saya sebagai pembaca turut tersedar tentang betapa pentingnya untuk kita memartabatkan bahasa bangsa kita ini, dan betapa sesungguhnya bahawa sesuatu bahasa adalah jiwa sesebuah bangsa, salah satu cerminan identiti bangsa.

Persepsi tentang kecantikan adalah isu utama dalam LBR. Duha Hafa, gadis yang pernah dikenali oleh Umair sepuluh tahun yang lalu adalah seorang yang sangat cantik. Ya lah, kalau sudah berdarah campuran Gujerati, pasti dia punya pesona tambahan yang berbeza dengan gadis lain. Dan Umair dalam diam menyimpan rasa yang istimewa buat Duha, biarpun telah melewati masa dan melintasi benua, rasa yang sudah bertunas itu terus dijaga. Namun, apabila bertemu semula dengan Duha Hafa, gadis itu sudah berubah; celotehnya sudah tidak lagi ramah, dan paling ketara penampilannya sudah jauh berubah, dia kini sudah berpurdah. Lalu, Umair yang sudah sekian lama menyimpan rindu untuk menatap wajah tersebut telah membuat pelbagai helah, namun semuanya tidak berjaya (lucunya Umair waktu tu, saya sampai ketawa ketika membacanya). Akhirnya, setelah seluruh rasa hatinya bukan rahsia lagi pada Duha Hafa, Duha dengan sendirinya membuka ‘pelindung’ mukanya dan segala persoalan di fikiran Umair terjawab; jawapan yang benar-benar menguji keikhlasan ‘rasa’ di hati Umair buat Duha. Bagaimanakah kesudahan Duha dan Umair? Selama manakah peranggu angin (wind chime) pemberian Umair berbunyi di jendela berlangsir biji remia Duha Hafa?

Penulis ada menitipkan pada naskhah LBR saya : ‘Cantik itu letaknya di hati’. Terima kasih Kak Su, ya benar, saya setuju dengan pernyataan itu, jika cantik di hati, insyaAllah akan cantiklah seluruhnya! Pun begitu, bagi saya orang yang melihat itu mestilah cantik dan bersih juga hatinya, barulah dia dapat melihat kecantikan yang tersembunyi itu. (^_^)

Friday, May 20, 2011

Cabaran 50 Novel/Buku [12] : Baju Melayu Hijau Serindit (Syud)




Tajuk : Baju Melayu Hijau Serindit
Penulis : Syud
Penerbit : Jemari Seni Publishing Sdn. Bhd
Muka surat :

Sinopsis belakang buku :
Dia ibarat seperti orang yang sedang berjalan di lantai dapur selepas ada pinggan pecah... harus berhati-hati dia, kerana kaca yang tidak nampak dek mata itu boleh melukakan kakinya.

~ I ~

Hidup seorang Wardah senang sahaja. Dia bersyukur kerana dia tidak pernah menghadapi situasi yang sukar (setakat inilah).
Hidupnya menjadi drama apabila mama mula campur tangan. Dia tidak mahu jadi anak tak dengar kata. Jadi harus bagaimana dia, untuk menghalang rancangan ‘mencari jodoh’ mama itu?

“Mama, janganlah libatkan Ilham. Biarlah lelaki tu nak pilih suka siapa pun.”

~ II ~

Dia bukanlah lelaki yang mudah jatuh cinta; namun tak ramai yang percaya akan hal itu. Dulu, hatinya juga pernah ‘hilang’ daripada dirinya. Sekali. Tak ramai yang tahu tentang itu!

“Apa yang I dapat kalau I tolong you?”
“You dapat jadi boyfriend I.”

Tapi apabila dia betul-betul jatuh hati pada seseorang, orang itu pun tak nak percaya. Sedihlah…
SYUD selalu menulis dalam bahasa segar dengan gaya yang memikat. Ceritanya tentang jodoh, sentiasa manis. Baju Melayu Hijau Serindit sekali lagi membuktikan kalau jodoh tidak ke mana!


Baju Melayu Hijau Serindit (BMHS) mengisahkan tentang Wardah dan Firas Adam a.k.a Pacai yang ‘ditemukan’ dalam kebetulan-kebetulan yang secara luarannya nampak biasa-biasa, tetapi menjadi luar biasa kerana kebetulan-kebetulan yang menemukan mereka adalah ‘kebetulan berjodoh’. 

Kisah bermula dengan pencarian novel Nyanyian Tanjung Sepi oleh Wardah untuk menggantikan buku adiknya, Laily yang telah terjatuh dalam lopak air. Di sebuah kedai buku di Amcorp Mall, Wardah telah terlepas peluang untuk membeli buku tersebut kerana 2 naskhah terakhir telah dibeli oleh seorang lelaki berbaju melayu hijau serindit, yang akhirnya Wardah gelarkan sebagai Shrek. Untuk menunjukkan tanda protes kepada si Shrek, Wardah telah berjalan hentak-hentak kaki di depan Shrek dan kawannya sehingga disedari oleh mereka berdua, dan Shrek (Firas) telah memberi nama gelar Dorothy (watak dalam Wizard of Oz) kepada Wardah kerana kebetulan pada masa itu Wardah memakai sepasang kasut/sandal berwarna merah. Atas nasihat kakaknya dan Adil (kawan baik Pacai), Firas telah memulangkan semula sebuah buku Nyanyian Tanjung Sepi yang dibelinya ke kedai tersebut dan telah dengan sengaja menyelitkan 2 keping kad namanya di dalam buku tersebut, tanpa apa-apa tujuan yang pasti, sungguh pelik, kan? 

Masa terus berlalu, imej Shrek masih kekal di ingatan Wardah, begitu juga imej Dorothy yang melekat di ingatan Firas, dan satu rasa yang aneh telah melanda Firas a.k.a Pacai ini- ingin mengenali ‘Dorothy berkasut merah’ itu, tapi bagaimana, ya??

Sementara itu, di sisi yang lain, Wardah dan Firas menghadapi masalah ‘ingin dijodohkan’ oleh ibu masing-masing dengan pilihan mereka. Wardah memang sangat menyukai pilihan ibunya- Ilham, pekerja kesayangan abahnya itu, tapi dia tidak mahu mengambil kesempatan pada situasi lelaki tersebut yang baru putus tunang. Firas pula memang sudah nekad tidak akan menyambung kembali hubungannya dengan si doktor pintar lagi jelita – Najlaa, setelah mereka putus beberapa tahun yang lalu, biarpun dia menyedari uminya beberapa kali menyebut nama itu sekarang.

Setelah beberapa kali ditemukan oleh ‘kebetulan’, akhirnya mereka – Dorothy dan Shrek @ Wardah dan Firas – telah bertemu dalam pertemuan yang dirancang, bukan lagi kebetulan seperti selalu-selalunya, dengan sebuah permintaan oleh Wardah : Firas berlakon menjadi teman lelaki istimewanya. Wah, permintaan yang bagai pucuk dicita ulam mendatang bagi Firas! Lalu bermulalah episod perkenalan dalam lakonan mereka yang akhirnya menimbulkan ‘kekalutan’ dalam diri masing-masing.

Apa kata saya:

Beberapa fakta tentang saya dan buku ini:
  1. Buku ini saya berjaya habiskan dalam masa kurang dari 24 jam (pada hari bekerja ya, bukan hari cuti!).
  2. Buku ini berjaya buat saya tak tidur lepas solat subuh (bayangkan, waktu subuh di Sabah masuk pada pukul 4.40 pagi!)
  3. Balik dari sekolah, saya buka buku ini terlebih dahulu daripada buka sarung kaki :p
  4. Saya mandi pukul 9 malam lepas balik dari kerja, gara-gara nak habiskan baca buku ni (saya sampai di rumah pukul 6.30 dan biasanya saya mandi pukul 6.50, sebelum solat maghrib).
Seperti selalu-selalu, karya Syud akan buat saya tersenyum-tersengih semasa membacanya. Bagi BMHS, ceritanya membuat saya jadi turut sama ‘kalut’ seperti watak-watak di dalamnya. Ya, selepas saya menghabiskan ayat terakhir dan menutup buku, satu kesimpulan yang saya buat untuk karya Syud kali ini ialah ‘kalut yang comel’ :p 

Syud bagi saya sangat kreatif menggarap kisah dalam karya-karyanya. Insiden-insiden yang terdapat dalam karya-karyanya kecil-kecil sahaja, amat sederhana tetapi bermakna dan boleh diterima akal. Beliau bagi saya amat bijak mencipta ‘kebetulan-kebetulan’ dalam karyanya, tidak melampau tapi mampu mencuit hati pembaca. Saya juga amat menyenangi semangat setiakawan dan persahabatan mendalam yang ditonjolkan oleh Syud dalam setiap karyanya. Contohnya dalam BMHS, Nik yang amat memahami Wardah, begitu juga Adil yang sentiasa prihatin terhadap Firas; setiap kelakuan pelik sang sahabat biarpun kecil cuma namun tetap disedari oleh mereka.  

Dari segi gaya bahasa yang digunakan, karya Syud adalah karya dengan bahasa yang santai, bukan ayat dengan bahasa sastera yang berbunga-bunga. Gaya santai yang digunakan Syud bagi saya menjadikan ceritanya ‘bergerak laju’ kerana pembaca tidak perlu terlalu berhati-hati semasa membaca untuk memahami ceritanya. Pun begitu, penggunaan dialog bahasa Inggeris yang agak banyak mungkin tidak disenangi sesetengah pihak, namun apa salahnya kalau ‘bahagian’ itu dijadikan ruang ‘pembelajaran’, kan? Ya lah, kalau tak tahu maksudnya, bukalah kamus, kan boleh tambah ilmu baru? :p Tapi ada satu perkara yang kurang saya senangi berkenaan dialog dalam cerita ini, iaitu penggunaan ‘I’ dan ‘you’ antara Firas dan Wardah, kalau ‘awak’ dan ‘saya’ lebih comel rasanya, namun mungkin Syud dan pihak editor punya pandangan dan sebab yang tersendiri dalam hal ini, saya agak.

Kemunculan watak-watak dalam karya-karya Syud yang terdahulu juga merupakan antara tarikan buku ini. Antara watak yang dimunculkan semula dalam cerita ini adalah Azril dan Lisa (Tentang Dhiya) dan Adil dan Aulia (Untuk Awak…Teja Aulia).

Secara keseluruhannya, saya amat menyenangi BMHS; bahasanya, wataknya, ceritanya…semualah! Terima kasih kepada sahabat saya Karimah yang telah bersusah-payah tolong belikan buku ini di PWTC kemudian poskan ke Tawau, kalau tidak mana mungkin saya yang berada di Tawau boleh membaca buku ini seawal bulan Mei!

Syud, tahniah kerana berjaya menghasilkan karya ‘comel’ untuk ke sekian kalinya. Teruskan berkarya, insyaAllah saya takkan serik untuk beli karya-karya awak! ^_^

Thursday, April 21, 2011

Cabaran 50 Novel/Buku [11] : Salju Sakinah (Zaid Akhtar)


Judul : Salju Sakinah
Pengarang : Zaid Akhtar
Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd 
Genre : Sastera
Mukasurat : 559  halaman

Salju Sakinah mengisahkan tentang Sumayyah, pelajar tahun akhir Universiti Yarmouk, Jordan. Kisah bermula beberapa minggu sebelum Sumayyah menduduki peperiksaan akhir, tiba-tiba didatangi warkah kiriman seseorang yang amat dinanti olehnya. Malangnya, warkah yang dinanti rupa-rupanya membawa perutusan duka, Afnan memutuskan ikatan kasih sayang mereka secara tiba-tiba dan meminta melupakan dirinya kerana dia bakal berkahwin dengan pilihannya yang lain di Kaherah. Khabar duka itu disimpan diam-diam oleh Sumayyah, tidak diceritakan kepada teman-teman rapatnya, Hakimah dan Fatehah.

Dalam kegalauan hatinya menghadapi kesedihan itu, berlaku satu peristiwa yang menemukannya dengan seorang mahasiswa senegara di universiti yang sama, lelaki berkopiah ala Raihan, yang cukup meninggalkan bekas di hatinya. Tidak lama selepas itu, selaku mantan exco tertinggi siswi, dia telah diundang sebagai salah seorang panel forum anjuran Persatuan Mahasiswa Malaysia Yarmouk (PERMAYA). Meski bakal menduduki peperiksaan paling penting, serta hati yang sedang gundah dengan berita perpisahan, Sumayyah yang tebal dengan semangat da’ie tetap menerima tugasan tersebut, yang tanpa disangka telah menemukannya lagi dengan lelaki berkopiah ala Raihan yang telah membantunya, Naufal.

Peperiksaan akhir berlangsung, dan Sumayyah melaluinya dengan persiapan yang sebaiknya. Lima hari selepas peperiksaan selesai, seperti yang telah dirancang, Sumayyah terbang meninggalkan bumi Jordan, dengan rindu yang sarat kepada keluarga di tanah air. Namun, tanpa diduga, dia disambut dengan berita yang maha mendukacitakan rasa, abah yang amat disayangi rupanya telah pergi dijemput Ilahi! Belum lagi sembuh rasa duka lewat warkah Afnan, dia diduga lagi, dengan rasa duka yang lebih besar. Beberapa hari pemergian abahnya ditangisi, dia mula sedar akan tanggungjawabnya menjaga umi dan menguruskan perusahaan kerepek yang ditinggalkan oleh arwah abahnya.

Dengan dibantu oleh Muazam, pemuda bersuara persis Afnan yang menjadi pekerja kepercayaan arwah abahnya, Sumayyah mula menyesuaikan dirinya dengan urusan perniagaan. Dalam kesibukan dengan urusan di Desa Wali, Sumayyah juga mula melibatkan diri dengan aktiviti dakwah dan tarbiyah di sekitar daerahnya, atas ajakan dan dorongan bekas gurunya, Ustazah Samihah. Sumayyah semakin betah dengan kehidupan barunya, menjaga umi, menguruskan Desa Wali dan melibatkan diri dalam dakwah dan tarbiyah.

Namun, ujian Allah sentiasa ada untuk mengangkat darjat hambaNya yang bertakwa. Begitu yang menimpa Sumayyah. Di kampung, dia diuji dengan fitnah Zaleha- jiran yang cemburu dan menuduh Sumayyah menggoda suaminya; diuji dengan Kak Long dan suaminya yang terpengaruh dengan ajaran sesat Tok Ayah Mit; dan juga kehadiran bekas teman sekolah- Lokman yang saban waktu menagih kasih darinya. Sebagai manusia biasa, ada kalanya dia hampir tewas dengan ujian yang mendatang, namun sebagai seorang yang punya pegangan agama yang utuh, Sumayyah terus mengharunginya dengan tabah dan yakin dengan ketentuan Allah, di samping berbekal semangat yang selalu diulang arwah abahnya bahawa dia harus kuat dan tabah, setabah Sumayyah Ummu Ammar bin Yasir! 

Satu per satu dugaan ditempuhi, dan Sumayyah teruji lagi, apabila mengetahui salah satu subjek yang diambilnya tidak lulus, dan untuk bergelar seorang graduan yang hakiki dia perlu kembali ke Jordan semula untuk mengulang semula subjek tersebut. Dengan hati yang berat dan rasa malu yang tebal, dia kembali semula ke sana untuk menyelesaikan pelajaran yang belum sempurna, tanpa menduga ada takdir yang indah untuknya di sana. Rencana Allah untuk hambaNya tak siapa pun mampu menduganya, dan sesungguhnya benarlah bahawa di setiap kesulitan pasti akan muncul kesenangan, pada setiap yang terjadi pasti ada hikmah yang tersembunyi.
_______________________

Apa kata saya:

Saya amat meminati karya Zaid Akhtar, semenjak saya mula mengenalinya melalui novel pertama beliau – Sesegar Nailofar. Selepas Sesegar Nailofar, saya juga membaca Rona Bosphorus dan novel ini, Salju Sakinah merupakan karya ketiga beliau yang saya senangi.

Gaya bahasa yang digunakan oleh Zaid Akhtar dalam SS masih ada persamaan dengan SN dan RB, dan mungkin juga lebih baik berbanding kedua-duanya (saya agak sahaja kerana kedua-duanya saya baca lebih kurang 10 tahun yang lalu). Beliau masih selesa menggunakan perkataan-perkataan arab untuk menggantikan perkataan melayu seperti ‘karib’(dekat), ‘rafik’(teman/ kawan), ‘istifham’(persoalan/pertanyaan), ‘mauduk’(topik/tajuk), ‘rukyah’ (pandangan), ‘jihat’ (arah/sudut) dan banyak lagi. Bagi seorang yang pernah belajar Bahasa Arab, hal ini tidak menjadi kesulitan malah saya menyenanginya, dan bagi yang tiada pengetahuan Bahasa Arab tidak perlu risau, kerana glosari disediakan di muka surat terakhir novel 559 halaman ini. Selain itu, banyak juga perkataan melayu yang jarang ditemui dalam buku-buku biasa digunakan oleh penulis dalam novel ini, sebahagiannya tidak pernah saya temui sebelum ini (mungkin kerana saya kurang membaca karya sastera).

Setiap novel yang ditulis oleh Zaid Akhtar pasti mengandungi satu isu utama yang menjadi tunjang ceritanya, dan dalam buku ini beliau mengemukakan isu ajaran sesat. Isu ini ditonjolkan melalui kisah kakak sulung Sumayyah bersama suaminya yang terpengaruh dengan ajaran sesat satu kumpulan yang diketuai oleh Tok Ayah Mit. Penglibatan pasangan tersebut dalam ajaran sesat tersebut telah mengubah sikap Kak Longnya terhadap keluarga, dan menjadi salah satu ujian yang besar buat Sumayyah. Walau bagaimanapun, pada pandangan saya penulis tidak mengupas isu ini dengan mendalam dan terperinci, sedangkan ada ruang untuk didalami dengan lebih baik.

Satu pujian saya buat penulis ialah- beliau berjaya menggarap watak Sumayyah dengan baik sekali. Bukan mudah untuk seorang penulis bercerita tentang watak yang berlawanan jantina dengan dirinya sendiri, tetapi watak Sumayyah dapat dibangunkan dengan baik oleh Zaid Akhtar, pada pendapat saya sebagai seorang perempuan. Ini adalah perbezaan terbesar Salju Sakinah berbanding Sesegar Nailofar dan Rona Bosphorus, kerana kedua-duanya ditunjangi watak lelaki- Iqbal (SN) dan Afham (RB). Watak Sumayyah digarap dengan kekuatan dan kelemahan, tidak terlampau idealistik. Begitu juga dengan cara perhubungan Sumayyah dan teman-temannya seperti Hakimah, Fatehah, Izzati dan Marianis – sangat ‘hidup’, tidak kaku dan saya rasa seolah-olah persahabatan mereka benar-benar berlaku, bukan direka-reka, sehingga lelucon dan usik-mengusik mereka turut saya ‘sertai’ dengan senyuman semasa membacanya.

Salah satu bahan bacaan yang baik bagi saya adalah yang mampu membuat saya mengeluarkan air mata, dan itulah yang berlaku semasa saya membaca Salju Sakinah. Satu per-tiga yang pertama, sudah banyak air mata saya yang mengalir; saya kasihankan Sumayyah yang sedih ditinggalkan Afnan; saya terkesan oleh kesayuan hati Sumayyah berpisah dengan teman-teman baiknya di Jordan; dan saya amat sayu dan sedih apabila kepulangan Sumayyah disambut dengan berita abah tersayang dan amat dirindui telah pergi dijemput Ilahi. Saya cuba membayangkan jika saya yang berada di tempat Sumayyah, dugaan demi dugaan datang bertimpa-timpa!

Soal hati, cinta dan jodoh seperti sudah menjadi sesuatu yang sinonim dengan Zaid Akhtar (ini pendapat peribadi saya sahaja). Hal ini saya temui dalam ketiga-tiga novel beliau, Sesegar Nailofar, Rona Bosphorus, dan Salju Sakinah juga. Hal ini bagi saya bukanlah sesuatu yang negatif, malah salah satu faktor penarik untuk saya setia meminati karya beliau, selain susunan bahasa yang indah dan segar. Dalam Salju Sakinah, beberapa watak lelaki muncul dalam hidup Sumayyah ; Naufal, Lokman dan Muazam, yang membuat pembaca tertanya-tanya, jejaka manakah yang akan berjaya mendapat cinta Sumayyah? Namun, jika anda seorang peminat karya Zaid Akhtar, jawapannya sudah boleh dimaklumi sebelum cerita berakhir. Jadi kepada penulis, saranan saya mungkin Ustaz boleh mencipta penamat yang berbeza dan tak terjangkakan untuk karya yang seterusnya nanti, jika ada.

Secara keseluruhannya, saya menyenangi Salju Sakinah, terutama dua per-tiga bahagian yang pertama, iaitu semasa Sumayyah masih berkuliah di Jordan dan semasa Sumayyah berada di Malaysia. Bab-bab terakhir bagi saya sudah agak meleret-leret, kisah cinta selepas perkahwinan antara Sumayyah dan suaminya pada pandangan saya tidak perlu dipanjang-panjangkan, dan menjadikan Salju Sakinah seolah-olah sama dengan novel cinta yang berlambakan di pasaran. 

Tahniah diucapkan kepada Zaid Akhtar atas kejayaan terhasilnya Salju Sakinah, insyaAllah jika ada lagi karya terbaru beliau saya tidak akan teragak-agak untuk mendapatkannya. Kepada peminat novel yang ada pengisian islami dengan garapan bahasa yang segar dan indah, dapatkanlah novel yang sudah diulang-cetak sebanyak 8 kali ini, hayatilah perjalanan hidup seorang Sumayyah, insyaAllah ada kepuasan yang bakal dirasai.

Thursday, April 14, 2011

Cabaran 50 Novel/Buku [10] : Bumi Cinta (Habiburrahman El Shirazy)


Tajuk : Bumi Cinta
Penulis : Habiburrahman El Shirazy
Penerbit : Ar-Risalah Product Sdn. Bhd
Muka surat : 722

Sedutan sinopsis kulit buku :

Apa yang akan berlaku, jika seorang graduan lulusan agama, bernama Muhammad Ayyas, hidup di Negara yang amat menjunjung tinggi seks bebas dan pornografi, iaitu Russia? Adakah iman dan kehormatannya dipertaruhkan demi memenuhi hasrat duniawi gadis-gadis muda Moskow, yang kecantikan mereka tiada taranya?

Cerita ini mengisahkan tentang seorang mahasiswa bernama Muhammad Ayyas yang merupakan graduan lulusan agama dari Timur Tengah yang kemudiannya melanjutkan pengajian peringkat sarjana di India dalam pengkhususan pengajian sejarah. Dari India, beliau telah berkunjung ke Moskow bagi mendapatkan data-data untuk penulisan sarjananya, iaitu tentang sejarah perkembangan Islam semasa era Stalin di Rusia. Permusafirannya di Moskow telah menemukannya dengan beberapa individu tertentu dan telah mengalami satu pengalaman yang tidak pernah dilaluinya selama ini, yang benar-benar menguji keimanannya dan keteguhan aqidahnya.


Setibanya di Moskow, Ayyas telah disambut oleh teman lamanya dari Indonesia, Devid, yang telah membantu mencari tempat tinggal untuknya di Moskow. Kejutan pertama buat Ayyas ialah apabila mengetahui dua lagi rakan penyewanya adalah perempuan! Dua orang perempuan yang menyewa apartmen bersama Ayyas adalah Yelena, seorang pelacur kelas atasan yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan, dan seorang lagi ialah Linor, seorang wartawan, pemain biola terkenal dan juga merupakan ejen perisikan Mosad beragama Yahudi yang amat memusuhi Islam.

Dalam melakukan tugasan sarjananya di Moskow, Ayyas telah ditemukan pula dengan seorang pensyarah muda yang pintar dan cantik, Dr. Anastasia Palazzo, yang menggantikan tempat seorang pensyarah yang sepatutnya menjadi pembimbing Ayyas di Rusia. Sepanjang menjadi pembimbing Ayyas, Dr. Anastasia dapat melihat kebaikan dan kepintaran yang ada pada diri Ayyas, dan seterusnya menumbuhkan perasaan halus di jiwa pensyarah muda itu, tetapi ada tembok penghalang yang amat besar di antara mereka iaitu agama, kerana Dr. Anastasia adalah penganut Kristian yang totok.

Ujian buat Ayyas di Moskow amat besar bagi seorang Muslim sepertinya. Dia teruji oleh cara Yelena dan Linor berpakaian di rumah; oleh pergaulan lelaki dan wanita yang terlalu bebas tanpa sebarang batasan; oleh pesona Dr. Anastasia yang amat menawan hati; oleh perancangan jahat pihak zionis yang ingin memporak-perandakan dunia. 

Namun Muhammad Ayyas tetap utuh dengan pegangan hidupnya. Setiap saat dia mengingatkan dirinya tentang Tuhannya dan tidak pernah putus memohon perlidungan dariNYA. Satu demi satu ujian ditempuhi, dan satu demi satu kejayaan dilakar, berkat kesabaran dan pergantungan yang tinggi terhadap Yang Maha Esa.

Apa kata saya :

Ini adalah novel ketiga Habiburrahman yang saya baca, selepas KCB 1 dan KCB 2. Novel best-seller beliau yang pertama – Ayat-Ayat Cinta - saya tak baca, kerana saya telah menonton filemnya sahaja. Bermula daripada KCB 1, saya amat menyenangi hasil tulisan beliau, dan tidak sabar-sabar untuk membaca KCB 2 pula. Usai membaca KCB 2, saya tertunggu-tunggu karya seterusnya daripada beliau, dan kini saya telah selesai menamatkan bacaan Bumi Cinta, meski boleh dikatakan agak terlambat.

Bumi Cinta berbeza dengan KCB dan mungkin juga berbeza dengan Ayat-Ayat Cinta, dari segi tema yang diangkat sebagai tunjang ceritanya, serta dari segi watak peneraju cerita. Dalam Bumi Cinta, Kang Abik menonjolkan Muhammad Ayyas sebagai seorang yang hampir sempurna; berbudi bahasa, cerdas, menguasai Bahasa Inggeris, Rusia dan Arab dengan baik, pintar berbahas, berpengetahuan luas, berhati mulia dan mempunyai pegangan agama yang amat teguh. Sepanjang membaca Bumi Cinta, berkali-kali terdetik di hati saya persoalan tentang wujudkah individu seperti  Ayyas ini? Namun apabila menyedari semula saya sedang membaca sebuah novel, persoalan itu saya abaikan, penulis berhak mencipta watak yang sempurna begitu kerana ia bukanlah sebuah kisah benar dan agar pembaca dapat mencontohi mana-mana kebaikan diri watak biarpun sedikit; itulah peranan sebuah karya yang baik pada pendapat saya.

Tema yang menunjangi Bumi Cinta adalah kepercayaan kepada Tuhan, sebuah tema yang berat dan besar tetapi dapat diangkat oleh Kang Abik melalui kisah hidup Ayyas bersama beberapa watak utama cerita ini. Kang Abik melakarkan Bumi Cinta bukan dengan cerita semata-mata, tetapi dilatari juga dengan tadabbur kalam Allah dan hasil kajian dan penemuan ilmiah, di samping pengetahuan tentang sejarah. Secara tidak langsung, pembaca akan mengetahui tentang pelbagai input yang bersifat ilmiah, biarpun bukan secara terperinci apabila membaca buku ini.

Salah satu perkara yang saya suka tentang buku ini adalah deskripsi tempat yang melatarinya, iaitu Moskow. Saya suka membaca cerita yang berlatarkan luar negara, kerana melaluinya saya dapat mengetahui tentang keadaan dan budaya sesuatu tempat walaupun tidak berpeluang untuk berkunjung ke tempat tersebut. Melalui buku ini banyak ilmu yang baru saya tahu, seperti akibat yang berlaku kepada seseorang jika terdedah kepada cuaca sejuk, pakaian yang digunakan semasa musim sejuk, keadaan kehidupan masyarakat di Rusia, perancangan jahat zionis terhadap Islam, jenis-jenis atheis, dan beberapa tempat menarik di Moskow seperti Kremlin dan Red Square.

Jika dalam KCB, Kang Abik banyak membicarakan tentang persoalan cinta dan jodoh, hal sedemikian kurang ditonjolkan dalam Bumi Cinta. Tanpa ayat-ayat romantis yang membuai jiwa dan rasa, ia tidak sedikit pun mencacatkan cerita dan tidak sedikit pun mengurangkan keghairahan saya untuk membaca dari kulit ke kulit. Ada rahsia besar yang tersingkap di penghujung cerita, dan saya rasa pengakhiran secara ‘tergantung’ yang dilakukan oleh penulis mungkin menandakan akan ada lagi kesinambungan cerita ini nanti.

Kepada pembaca yang inginkan suatu bacaan untuk pembangunan jiwa dan mengandungi input ilmiah yang disampaikan secara santai, serta menginsafkan diri tentang betapa indahnya Islam dan besarnya kasih-sayang Allah terhadap makhlukNYA, bacalah Bumi Cinta, mudah-mudahan kita berada di bumi cinta dan bakal dibangkitkan suatu hari nanti di ‘bumi cinta’ yang kekal abadi.

 Red Square dan Kremlin, antara tempat yang dikunjungi oleh Ayyas semasa di Moskow.

 Kremlin pada musim sejuk, suasana yang dialami oleh Ayyas di Moskow.

Moscow State Universiti atau MGU, tempat Ayyas mengumpulkan data untuk penulisan 
sarjananya dan tempat pertemuan Ayyas dan Dr. Anastasia.