Saturday, February 26, 2011

Cabaran 50 Buku/Novel [8] : Kau Curi Hatiku (Iman Xara)



Tajuk : Kau Curi Hatiku
Penulis : Iman Xara
Penerebit : Jemari Seni Sdn. Bhd
Muka surat : 518

Sinopsis belakang buku:
Seteguh manakah hati seorang isteri kalau hidup bersama suami setiap hari makan hati berulam jantung, sedang kekasih lama tetap setia dengan cintanya?
Arissa dan Zamil, rakan sekerja yang seperti anjing dengan kucing tidak boleh berdekat. Seorang bermulut laser dan seorang lagi mulut tiada insurans. Sering juga teman-teman mengingatkan mereka, kata orang, jangan terlalu membenci bimbang nanti menjadi suka. Tapi mereka tak percaya kerana rasa tidak suka itu terlalu tebal. Namun siapalah mereka untuk menolak perasaan suka itu kalau perasaan itu mahu bertunas? Arissa kecewa kerana percintaannya dengan Firdaus terpaksa berakhir kerana keluarga; Zamil pula kecewa kerana hanya bertepuk sebelah tangan dengan Ain. Mereka tidak tahu bahawa takdir telah menentukan hubungan masam-masam manis antara mereka begini dan kemudian begitu, jadinya.
* * *
Kata orang hati perempuan itu sukar ditafsirkan. Jadi biarlah IMAN XARA membuka rahsia itu untuk anda fahami, dengan membaca Kau Curi Hatiku

_________________________________________

Buku ini mengisahkan tentang Arissa dan Zamil, rakan sepejabat yang pantang bertemu, pasti akan tercetus perbalahan mulut antara mereka. Rakan-rakan rapat mereka, Zulfa, Ain, Aswad dan Rizza sentiasa menasihati mereka supaya berbaik-baik, namun perbalahan demi perbalahan terus berlaku antara mereka. Pantang terdengar Zamil mengata, pasti akan dibalas oleh Arissa, dan Zamil pula selalu saja bersangka yang bukan-bukan terhadap Arissa.

Zamil menyukai Ain, salah seorang rakan sekerja dalam kumpulan mereka. Malangnya, cinta Zamil tidak berbalas, Ain menganggapnya tidak lebih daripada seorang kawan. Ain telah mendapat tawaran kerja di negeri kelahirannya dan telah berpindah tempat kerja, menyebabkan Zamil amat kecewa dan mula berubah sedikit demi sedikit.

Arissa pula sebenarnya dalam gurauan dan sikap cerianya rupa-rupanya menyimpan luka di dalam hati yang tak pernah diketahui sesiapa, termasuk kawan rapatnya, Zulfa. Arissa pernah menyintai Firdaus, seorang pemuda di kampungnya. Percintaan yang disemai sejak di bangku sekolah itu terpaksa diputuskan apabila bapa saudara Arissa mengahwini adik perempuan Firdaus. Biarpun hukum agama tidak mengharamkan perkahwinan antara kedua-duanya namun keluarga Firdaus tidak mahu perkara demikian berlaku. Dan, apabila menerima kad undangan perkahwinan Firdaus, Arissa tidak dapat menyembunyikan kesedihan hatinya dan meluahkannya kepada Zulfa.

Semenjak ketiadaan Ain, sikap Zamil semakin berubah, menjadi seorang yang lebih baik dan tidak lagi bertengkar dengan Arissa. Melalui Zulfa, disuarakan niatnya untuk memikat hati Arissa dan menjadikan Arissa teman istimewanya. Zulfa sangat gembira dan amat ingin melihat dua orang sahabatnya itu bersatu. Pada mulanya Arissa tidak ambil kisah dan tidak melayan Zamil, sikap biadab dan kata-kata kesat Zamil selama ini tidak dapat dilupakannya. Namun, ibarat kerasnya kerak nasi, direndam dengan air menjadi lembut juga, begitulah hati wanita seorang Arissa. Dipujuk dirayu, dimanja dan diberi perhatian oleh Zamil, Arissa akhirnya membuka pintu hatinya buat Zamil, biarpun kurang dipersetujui keluarganya.

Kehidupan Zamil dan Arissa amat bahagia dan berjalan lancer, sehinggalah datang badai mengocak tenangnya pelayaran bahagia mereka selepas kelahiran Alif Rayyan. Kasih Zamil mula beralih arah kepada Tina, seorang wanita yang dikenali sewaktu berkursus, dan bermula dari itu pembohongan demi pembohongan diciptakan Zamil buat Arissa. Kecurangan Zamil berjaya dihidu Arissa, begitu juga Zulfa dan rakan-rakan sepejabat mereka, namun Arissa tidak pernah menjaja cerita kepincangan rumahtangga mereka, semuanya dipendam seorang diri. Sikap Zamil semakin teruk apabila Arissa mengandung dan melahirkan cahaya mata kedua mereka, Safya Hani.

Firdaus, bekas kekasih Arissa pula kematian isterinya Nurin, akibat penyakit yang dideritainya. Apabila mengetahui keadaan hidup Arissa yang tidak bahagia, hatinya diruntun pilu dan kasihnya terhadap Arissa yang tak pernah padam selama ini kembali mekar. Apakah yang berlaku seterusnya? Untuk mengetahuinya, dapatkan Kau Curi Hatiku, karya ketiga daripada Iman Xara ini.

Apa kata saya :

Saat membaca bab 1 di laman sesawang Jemari Seni, hati bagai ditarik-tarik untuk dapatkan buku ini, sesegera yang mungkin! Tapi di Tawau ni kedai buku mana la yang jual novel baru dengan cepat? Nasib baiklah teknologi sekarang canggih, klik 2-3 kali dah siap membeli, tinggal kena tunggu je lebih kurang seminggu, dah dapat buku yang diidam, mudah sungguh!

Sangkaan saya mengenai buku ini berkisar tentang perkahwinan secara paksa meleset sekali rupanya! Pada awalnya saya agak kecewa kerana sangkaan saya tidak tepat, tapi cara penyampaian Iman Xara yang bagi saya ‘kemas’ telah ‘mengikat’ saya untuk menghabiskan bacaan ke noktah terakhir, biarpun terpaksa ‘pause’ beberapa kali kerana tuntutan tugas seharian. Saya tidak pernah membaca karya-karya Iman Xara yang sebelum ini, jadi saya tidak dapat membuat perbandingan dengan karya-karya beliau yang terdahulu.

Watak Zamil betul-betul membuatkan saya rasa benci dan asyik memaki sendirian di dalam hati semasa membaca buku ini. Saya sangat kasihankan Arissa, dan pada masa yang sama saya juga kagum dengan ketabahannya menempuh badai yang melanda kehidupannya bersama Zamil. Saya pasti, ramai sebenarnya wanita yang mengalami masalah yang sama seperti Arissa, namun begitulah wanita, akan terus bertahan selagi termampu, biarpun hati sendiri sudah parah berdarah dan remuk redam. Saya sukakan pengakhiran cerita ini, yang baik dibalas baik dan yang bersalah mendapat pembalasan setimpal. Paling saya sukai dalam cerita ini ialah ketabahan dan ketegasan Arissa dalam membuat keputusan, kecuali keputusannya menerima Zamil suatu waktu dulu.

Sedikit kelainan dalam novel ini ialah penggunaan dialek negeri Terengganu yang agak banyak, sesuatu yang tak pernah saya temui dalam buku-buku yang pernah saya baca sebelum ini. Oleh kerana saya juga berasal dari Terengganu, tiada masalah untuk saya fahami perbualan-perbualan dalam cerita ini, namun saya rasa lebih baik disediakan sedikit ruangan catatan maksud perkataan-perkataan tertentu yang mungkin tidak difahami pembaca, terutamanya yang bukan berasal dari negeri-negeri pantai timur.


No comments:

Post a Comment