Tajuk : 3 Jantung Hati
Penulis : Nisyah
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Muka surat : 452
Sinopsis belakang buku:
menahan diri daripada menerima Nadim samalah seperti menelan paku payung
Benarkah cinta seorang perempuan terhadap seorang lelaki itu seumur hidupnya? Biarpun lelaki itu telah tiada di alam fana ini, benarkah cintanya tidak pernah berusik? Biarpun waktu berlalu, benarkah kasihnya takkan berubah?
Lalu bagaimana pula andainya muncul seorang lelaki lain yang setara? Kalaupun tidak lebih baik daripada si jantung hatinya yang telah pergi itu, apakah cintanya akan beralih arah? Susahnya memahami hati perempuan, kadang-kadang dalamnya tidak terduga; kadang-kadang berkata ‘ya’ di dalam, di luar tetap mengaku ‘tidak’!
Sukar sungguh hidup Nadira setelah suaminya mati, meninggalkan dia merana bersama anak kecil si jantung hatinya. Ah, bertambah sukar hidupnya setelah menjadi ibu tunggal itu, tiba-tiba muncul dia! Dia yang berebut mahu jadi jantung hatinya yang ketiga. Sanggupkah dia membiarkan hatinya diisi lagi, kalau kasihnya pada Imran sudah penuh?
* * * *
NISYAH menulis tentang hati seorang perempuan yang tersepit antara kenangan cinta lama dengan munculnya ‘orang baharu’ yang begitu mengharap cintanya.NISYAH begitu berhati-hati membuat keputusan dalam 3 Jantung Hati untuk mengubah hidup Nadira selamanya.
Usai membaca Sweet Sour, saya pilih untuk membaca 3 Jantung Hati pula, atas saranan seorang kawan. Wah, bagusnya mood membaca saya waktu itu, habis satu buku terus sambung buku yang lain pula! Harap-haraplah ‘angin rajin’ begitu akan berterusan bertiup dalam tahun 2011 ini J
Ceritanya tidak terlalu berat, membuatkan saya tidak perlu berfikir banyak sepanjang membaca buku ini. Saya sukakan watak Nadira yang sangat tebal sifat keibuannya dan sangat pandai memasak, terhibur dengan gelagat Nadim Syah yang angau ibarat remaja 18 tahun setelah jatuh cinta pada Nadira walhal usianya sudah 38 tahun, dan jatuh kasihan pada Ensha Hani anak kecil yang sangat rindukan kasih seorang ayah. Pada awalnya saya sedikit jengkel dengan Nadim Syah, yalah, belum pun lama kenal dah panggil sayang kat Nadira. Namun lama-kelamaan rasa jengkel itu hilang sedikit demi sedikit apabila dia sangat pandai mencuri hati Nadira dan Ensha Hani. Huh, si Nadim ni memang kategori pencuri hati kelas satu lah, mulut manis dan tak kenal erti putus asa, kalau saya pun boleh cair rasanya, hahaha.
Konflik berlaku apabila ibu Nadim Syah, Puan Sri Suhaida menghalang perhubungan Nadim dan Nadira kerana beliau ingin menjodohkan Nadim dengan anak Datin Muhaini, Sofea. Huh, nasib baik la si Sofea ni tak suka kat Nadim (sebab dia dah ada orang lain), menjadikan cerita ni tak sama dengan cerita-cerita lain yang ada watak perempuan lain nak merebut hero daripada heroin. Saya seronok sangat dengan hal yang terjadi semasa majlis pertunangan Nadim-Sofea, rasa nak gelak kuat-kuat kat Puan Sri Suhaida dan katakan ‘padan muka’ kat dia, hahaha. Oppss, Nadim dan Sofea bertunang? Saya tak nak jawab, anda bacalah sendiri ya J
Dari segi gaya bahasa penceritaan, bagi saya Nisyah sudah menulis cerita ini dengan sebaik mungkin. Cuma pada pendapat saya (ini pandangan saya saja, ya) sekiranya Nisyah menyingkap lebih banyak rasa kasih Nadira yang masih utuh buat arwah Imran, dan betapa dia rasa berbelah bahagi untuk menerima Nadim kerana ingin terus setia kepada Imran, emosi pembaca akan jadi bertambah tersentuh.
Secara keseluruhannya, saya suka 3 Jantung Hati, dan jika ada karya seterusnya daripada penulis ini, saya tidak akan teragak-agak untuk mendapatkannya J
No comments:
Post a Comment