Saturday, March 5, 2011

Cabaran 50 Buku/Novel [9] : 3 Campur 1 = Satu (Ana Farhana)


Tajuk : 3 Campur 1 = Satu
Penulis : Ana Farhana
Penerbit : Jemari Seni Sdn. Bhd.
Muka surat : 436

Sinopsis belakang buku :
“Kalau tiga orang tak cukup untuk menyayangi Khairina, aku sanggup jadi lelaki yang keempat.” ~ Hakimi
I
ARGHHH! Khairina menjerit kuat. Bengang sungguh dia dengan abang-abangnya.
“Menjerit sampai nak cair tahi telinga aku,” rungut Along.
Oit! Kau orang ingat benda senang ke? Susahhh!” omel Khairina.
“Susah apa ke bendanya? Senang aje. Suruh kahwin aje. Itu pun susah ke nak faham?” Mata Angah membuntang.
II
“Nah ni gambar adik kami!”
Hakimi ambil gambar tu. Aduhai!
“Oit! Tenung lama-lama nampak,” Acik berdeham kecil.
Hakimi kembali ke alam nyata. Dia tersengih seketika.
“Cantik adik kau orang ni ya, adik betul ke adik angkat?” soal Hakimi.
III
Kenyataan berani mati yang diluahkan oleh Hakimi tadi benar-benar meruntun hatinya. Tapi dia buat-buat selamba badak. Padahal jantung dia macam nak terjatuh keluar; melompat-lompat macam katak.

***
ANA FARHANA menulis untuk grup ‘muda’ yang mahu bacaan bermutu tetapi santai dan ‘sempoi’. Sekiranya grup ‘tua’ tidak dapat menghadamkan cerita ini, hmm... ini bermakna usia anda betul-betul sudah ‘terawet’ Laughing dengan jayanya.

Buku ini mengisahkan tentang 3 orang abang yang amat menyayangi satu-satunya adik perempuan mereka dan ingin melihat adik mereka bahagia. Mereka tinggal bersama di Kuala Lumpur, sementara ibu bapa mereka tinggal di kampung. Perhubungan mereka sangat rapat walaupun selalu saja bergaduh (gaduh-gaduh manja, hehe).

Tiga saudara lelaki ini, iaitu Along, Angah dan Acik mempunyai seorang kawan, namanya Hakimi. Suatu hari, Hakimi telah meluahkan masalahnya, tak lain dan tak bukan – disuruh kahwin oleh orang tuanya. Hal tersebut menjadi satu masalah bagi Hakimi kerana dia tiada teman wanita. Lalu, Along, Angah dan Acik telah muncul dengan idea cemerlang mereka, iaitu meng’kenen’kan Hakimi dengan adik mereka, Khairina.

Insiden-insiden lucu mula berlaku apabila tiga bersaudara tersebut berusaha mengatur pertemuan antara Khairina dan Hakimi. Hakimi yang sudah jatuh cinta pandang pertama pada gambar Khairina telah berusaha memikat hati Khairina berbekalkan maklumat daripada Along, Angah dan Acik, tanpa pengetahuan Khairina. Aduh, lucunya telatah mereka ni, sampai Hakimi yang baik tu pun kena jadi ‘kerek’ jugak demi nak memenangi hati Khairina J Dan, Khairina yang ‘membekukan’ hatinya daripada cinta kerana satu ‘peristiwa’ itu akhirnya cair juga oleh usaha Hakimi yang tak pernah kenal putus asa itu, namun tidak pernah diakui sendiri oleh Khairina secara terus terang.

Konflik berlaku apabila rahsia pakatan Along-Angah-Acik-Hakimi diketahui oleh Khairina. Bermula dari situ, elemen-elemen lucu semakin berkurangan dan cerita mula menjadi agak tegang sedikit, dan ada juga bahagian-bahagian yang menyentuh perasaan dan mampu buat air mata bergenang. Kesudahannya? Baca sendiri ya…hehehe…
***************************
Wah, sebuah buku yang amat ‘asyik’ dibaca! Sebuah kisah yang biasa-biasa, namun menjadi luar biasa manis dan menarik kerana telah disampaikan dalam gaya yang santai dan disulami dialog-dialog yang lucu. Sepanjang membaca buku ini, saya asyik ketawa saja (ketawa betul2 ya, bukan sekadar tersenyum atau tersengih-sengih tau!), nasib baiklah saya membaca di rumah, bukannya dalam plane atau di sekolah, kalau tak mesti orang sekeliling pandang saya semacam, hehehe.

Ada dua perkara yang tak henti menjadi bayangan dalam minda saya semasa membaca buku ini; pertama, saya terbayangkan drama Dania, watak 2 orang abang Dania yang selalu mengusik dan mengutuk Dania, begitulah watak abang-abang Khairina muncul dalam imaginasi saya. Kedua, rancangan Senario dan Raja Lawak, kerana dialog-dialog dalam cerita ni kebanyakannya ala-ala lawak Senario dan Raja Lawak, tu yang buat saya terlepas ketawa terus sepanjang pembacaan, hehehe… Ya lah, maunya tak ketawa kalau bergaduh pun pakai balas-balas pantun segala, comel sangat!

Saya kagumi Ana Farhana yang bijak menyelitkan pengajaran dalam gaya penyampaiannya yang santai. Perhubungan antara Hakimi dan Khairina dibentuk dengan baik, tanpa adegan-adegan yang terlalu mesra dan dalam batas pergaulan yang terjaga. Saya juga sangat suka dengan tema keakraban adik-beradik yang diangkat oleh penulis dalam cerita ini, terutamanya Along yang amat prihatin dan bertanggungjawab. Cuma satu perkara yang saya kurang selesa tentang buku ini iaitu penggunaan bahasa perbualan yang kasar antara Khairina dan abang-abangnya, sesuatu yang tidak selari dengan budaya masyarakat Melayu yang mementingkan kehalusan budi bahasa.

Secara keseluruhannya, saya sangat sukakan cerita ini, dan akan terus tertunggu-tunggu karya seterusnya daripada penulis ini. Untuk peminat novel yang belum membaca buku ini, dan kepada pembaca yang mencari bahan bacaan yang menghiburkan, dapatkanlah karya Ana Farhana ini, pasti akan ada tawa yang tercetus dan senyum yang terukir nanti, percayalah!

1 comment:

  1. mcm best. looking forward to hv this novel :D bole awak bg rating utk novel ni?

    ReplyDelete