Saturday, February 5, 2011

Cabaran 50 Novel/Buku [1] : Tariq Penakluk Andalusia (Abdul Latip Talib)


Tajuk : Tariq Penakluk Andalusia
Penulis : Abdul Latip Talib
Penerbit : PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Muka surat : 245

Sinopsis belakang buku:

“Di belakang itu lautan, di depan kita musuh. Kita harus memilih kemenangan atau syahid. Kita tidak akan pulang sebelum mencapai tujuan itu!”
Itu antara ucapan Tariq bin Ziyad kepada perajuritnya ketika mereka menakluk Andalusia (Sepanyol).
Anak kecil yang dijual sebagai hamba kepada Musa bin Nusair ini membesar menjadi seorang panglima perang yang hebat. Beliau diajar bermain senjata dan menunggang kuda sejak kecil. Kepimpinan dan ketangkasan yang ada padanya membuatkan Musa bin Nusair melantiknya menjadi Ketua Panglima bagi 12 ribu tentera Islam bagi menawan Andalusia.
Tariq bin Ziyad adalah lambing kegemilangan Islam. Oleh sebab keberaniannya, sebahagian benua Eropah disinari cahaya Islam. Namanya turut diabadikan menjadi nama sebuah bukit di Tenggara Sepanyol, iaitu Gibraltar atau Jabal Tariq. Novel ini menceritakan lebih lanjut berkenaan kehebatan panglima Islam ini.
**********************************************************

Inilah buku pertama yang saya baca dalam tahun 2011 ini, novel sejarah Islam pertama yang pernah saya baca dan novel pertama juga daripada penulis yang juga dikenali sebagai Pak Latip yang saya baca. Sebelum ini sudah banyak kali saya melihat novel-novel sejarah daripada penulis ini tersusun rapi di rak-rak di kedai-kedai buku yang saya kunjungi, dan biasa juga saya lihat terpapar di laman-laman internet yang menjual buku secara online, tapi saya belum berminat lagi untuk membelinya pada masa itu. Pada cuti akhir tahun 2010, saya telah bertemu dengan seorang teman rapat semenjak di sekolah menengah, dan beliaulah yang mencadangkan untuk saya membaca karya-karya sejarah Islam oleh Pak Talib. Dan dalam banyak-banyak karya beliau, saya tertarik untuk memulakan dengan buku ini : Tariq Penakluk Andalusia.

Buku ini nipis sahaja (295 m/s), jika dibaca bersungguh-sungguh pasti boleh dihabiskan dalam masa beberapa jam sahaja. Tapi saya mengambil masa 2 hari juga untuk menghabiskannya, aduh, teruk sungguh prestasi membaca saya sekarang ini!

Buku ini menceritakan kronologi penaklukan Andalusia oleh tentera Islam di bawah pimpinan Panglima Tariq bin Ziyad, bermula daripada kekecewaan Panglima Julian, Gabenor Ceuta apabila anak gadisnya, Florinda membunuh diri selepas diperkosa oleh Raja Roderiga, pemerintah Andalusia yang berbangsa Gotik pada masa itu. Rasa marah dan dendam Panglima Julian terhadap Raja Roderiga telah membawa beliau ke Afrika menemui Musa bin Nusair, wakil Khalifah al-Walid bin Abdul Malik untuk meminta bantuan memerangi Raja Roderiga yang kejam, zalim dan bernafsu buas.

Kedatangan Panglima Julian memohon bantuan bagaikan pucuk dicita ulam mendatang kepada kerajaan Islam, kerana sememangnya kerajaan Islam memang bercita-cita untuk memperluaskan empayarnya ke benua Eropah. Musa bin Nusair telah melantik Panglima Tariq bin Ziyad untuk mengetuai angkatan tentera seramai 12 ribu orang untuk meninjau dan merisik keadaan di Andalusia dan mereka telah berjaya sampai ke sana dengan bantuan Panglima Julian.

Bermula dari bab pertama sehingga bab terakhir menceritakan rentetan peristiwa dan detik-detik penaklukan Andalusia oleh tentera Islam di bawah pimpinan Panglima Tariq bin Ziyad. Saya sedkit kecewa kerana pada sangkaan saya buku ini menceritakan biografi Tariq bin Ziyad; bermula daripada detik kelahiran beliau sehingga beliau meninggal dunia. Namun rasa kecewa itu terubat dengan cara pesembahan cerita sejarah yang tidak membosankan, penyampaian bukan secara fakta semata-mata. Tidak mengapalah, mungkin saya boleh membaca biografi tokoh ini melalui sumber-sumber yang lain pada masa akan datang.

Apa yang penting, sekurang-kurangnya saya dapat mengetahui sedikit sebanyak mengenai sejarah penaklukan Andalusia, serta sedikit tentang keperibadian dan ketokohan Panglima Tariq bin Ziyad melalui buku ini. InsyaAllah, saya akan dapatkan buku-buku lain daripada penulis ini pada masa akan datang, dan semoga Allah memberi ganjaran terbaik buat beliau dan juga pihak-pihak yang terlibat dalam usaha menerbitkan karya yang bermanfaat begini, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment