Monday, November 8, 2010

Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum :)

Selamat berkunjung ke ruangan coretan baru saya, Coretan Arirada. Bagi rakan2 yang sudah lama mengenali saya, pasti sudah pernah berkunjung ke 2 ruangan maya saya sebelum ini, 'Momen Hidup' dan 'Hidup Dalam Dua Nafas'. Ruang yang pertama saya hentikan kerana masalah photo storage yang terhad (saya guna free account sahaja), dan ruang yang kedua 'terhenti' tanpa kerelaan saya sendiri, entah apa masalahnya saya sendiri pun tak tahu (saya bukanlah arif sangat tentang komputer dan internet), tiba-tiba saja account gmail dan blog tersebut tidak dapat diakses langsung. Banyak posting yang saya sayang di situ, tapi tak mengapalah, mungkin ada hikmah di sebaliknya, saya berusaha untuk terima dengan redha.

Alam blog ibarat sebuah diari bagi saya. Dulu, sebelum mengenal internet dan blog, saya sangat suka menulis diari. Saya tak ingat dah berapa buah diari yang saya tulis, sebab setiap tahun saya akan hapuskan diari-diari tersebut, bimbang jika ditemui dan dibaca oleh orang lain. Agak pelik, kan? Biasanya orang menulis diari untuk 'simpan' peristiwa tertentu pada tanggal tertentu dalam bentuk catatan, supaya boleh dibaca dan diimbau semula pada masa akan datang. Kadang2 ya, saya juga menulis dengan tujuan yang sama, tapi bukan semata-mata untuk itu. Saya menulis untuk kepuasan diri, untuk meluah apa yang terbuku di hati, dan untuk mengasah kemahiran menulis.

Kemahiran menulis? Saya tidak mahir menulis, tapi saya amat ingin menulis! Semenjak sekolah rendah lagi, saya sangat suka membaca novel. Setiap kali khatam membaca sesebuah buku, saya teringin sangat untuk menulis cerita sendiri. Saya selalu berfikir-fikir 'macam mana nak menulis novel?' Sebuah novel koman2 pun 300 muka surat, oh, itu di luar kemampuan saya! Apatah lagi, perbendaharaan kata saya rasanya amat sedikit dan saya juga tidak tahu menyusun bait kata yang indah-indah. 

Jika menulis diari, hanya saya seorang saja yang boleh membacanya, tidak dapat dikongsi oleh orang lain. Nak menulis novel, saya tiada kebolehan hingga ke tahap itu. Jadi, blog adalah tempat terbaik buat saya; untuk saya menulis sepuasnya sambil berkongsi cerita suka dan duka yang saya alami, di samping mengerat tali silaturrahim dengan rakan taulan yang kini terpisah oleh jarak dan waktu, dan mungkin juga menjalin ukhuwwah dengan kenalan2 baru biarpun sekadar di alam maya.

Jadi, untuk tujuan2 yang dinyatakan itu, dan beberapa 'hadaf' lain yang saya sendiri pun tak tahu bagaimana untuk dinyatakan dan dihurai di sini, Catatan Arirada diwujudkan. Biarpun tidak ada yang indah2 atau hebat2 untuk saya tampilkan di sini, biarpun bahasa yang saya gunakan 'entah apa-apa', biarpun tidak ada 'follower' yang tertentu, saya akan terus mencoret di sini, insyaAllah.

Dan, sedikit perbezaan berbanding dua ruang maya saya sebelum ini, kali ini saya ingin menggunakan kata ganti nama 'saya', bukan 'aku' seperti sebelum ini. Terima kasih buat yang sudi berkunjung dan membaca coretan-coretan di sini, mohon ditegur dan diperbetulkan sekiranya ada kesilapan fakta atau mungkin ada coretan yang kurang menyenangkan (untuk coretan2 akan datang).

Salam ukhuwwah dari saya buat semua yang berkunjung ke blog Catatan Arirada  :)

1 comment:

  1. Salam..

    Saya adalah 'follower' Hidayah..
    Selamat menulis kembali di blog baru dengan semangat yang baru. Sebagai yg suka dengan aksara-aksara...jujur saya katakan, Hidayah mmg ada bakat menulis. Penulisan Hidayah buat org tak ingin berhenti daripada membacanya.

    Cubalah menulis. JS pun nak buat bengkel penulisan dalam bulan depan utk bakal penulis baru. Insya Allah, mesti byk yg blh di belajar daripada kaksu nanti.

    Ok dayah, nanti saya jenguk lagi. Yang pastinya saya dah bookmark blog ini. Selamat bertinta.. :)

    ~Nazawati~

    ReplyDelete