Monday, December 22, 2014

Pic Quotes : Ia Akan Muncul

Ya, selalunya begitu..

Kalau ada barang hilang, masa kita cari tu memang tak jumpa, tapi bila kita dah tak perlu, barulah jumpa, kadang2 tu elok je ada kat tempat yang kita geledah bagai nak rak sebelum tu..

Kalau ada nak beli something, masa kita nak tu susah betul nak dapat, masuk hampir semua kedai pun tak jumpa2, tapi bila kita dah tak perlu, asyik terjumpa je kat mana-mana..

Kannn??

Err, boleh apply kat semua situasi tak kesimpulan ni?

Berhenti mencari, ia akan muncul sendiri..
Berhenti menunggu, ia akan tiba sendiri..

Dengan syarat,

Jangan berhenti berdoa,
Jangan berhenti meminta,

Pada Dia,
Yang Maha Pemberi.


Friday, December 19, 2014

Lepaskanlah!


Lepaskanlah, maka semoga yang lebih baik akan datang.
Lepaskanlah, maka semoga suasana hati akan lebih ringan.
Lepaskanlah, maka semoga kita menyadari tidak ada sesuatu yang sesungguhnya kita miliki.

~Tere Liye~

*apa lagi yang menghalangmu, wahai hati??

Wednesday, December 17, 2014

Berikan Sesuatu


Vice-versa:

Setiap orang yang pernah kita lewati hidup mereka,
moga telah kita berikan untuk mereka,
sama ada kenangan,
atau pun pelajaran,
yang bermanfaat,
insyaAllah.

Sunday, December 7, 2014

A Good Cry



'A good cry' masih belum mencukupi, sekadar menenangkan untuk seketika, but not for the long run... 

Sangka diri dah cukup kuat, rupanya masih rapuh lagi, patut la Allah tak makbulkan doa yang satu tu, He is All Knowing!

:(

*jumpa and salam dengan si kakak pun balik rumah tangkap leleh dari petang sampai ke malam, kalau jumpa orangnya sendiri boleh demam agaknya! aigoo...be strong girl!

Friday, December 5, 2014

Thursday, December 4, 2014

Sabar Kerana Apa?


Allahu rabbi...
Sentap baca kata-kata pada gambar :(
Terima kasih kepada seorang rakan sekelas di SMAASZA satu waktu dulu yang post picture quote ni dalam group whatsapp, sungguh ia adalah satu teguran dan peringatan yang amat bermakna buat diri yang seringkali khilaf ni..

Kita sabar kerana apa sebenarnya? Memang selalu kita dengar, baca, dinasihati, malah mungkin menasihati orang lain - "banyakkan bersabar, Allah bersama orang-orang yang sabar" - dengan kefahaman bahawa jika kita bersabar Allah akan memberi ganjaran pahala, jika kita bersabar Allah akan gantikan kesusahan dengan sesuatu kebaikan yang lebih besar, jika kita bersabar Allah akan memberi pertolongan kepada kita untuk melalui kesukaran/musibah yang sedang dihadapi - semuanya sebab yang tujuan akhirnya adalah untuk mendapat 'sesuatu' daripada Allah (pahala, pertolongan, rezeki dll).

Mungkin kefahaman orang lain sudah betul, mungkin saya saja yang faham sebegitu :(

Lalu, ikhlaskah kesabaran seperti itu? Apabila bersabar dengan tujuan untuk mendapat ganjaran-ganjaran sedemikian, bukan mengutamakan untuk bersama-sama dengan Allah?

Allah, khilafnya diri ini..

Sebenarnya, bersama-sama dengan Allah itulah yang paling utama. Sama ada Allah ingin memberi sesuatu ganjaran kepada kita atau tidak, itu hak Allah. Yang pasti, bersama dengan Allah adalah yang terbaik dan pasti akan ada kebaikan yang kita perolehi.

Jom ubah niat, bersabar kerana ingin Allah sentiasa bersama kita, bukan semata-mata untuk ganjaran lain daripada Allah sahaja.

Semoga Allah ampunkan kekhilafan selama ini..


Saturday, November 29, 2014

Pic Quotes : Keep Moving



'Lupakan yang sudah berlalu. Kalau kita asyik rebah sebab masa lalu, macam mana kita nak jumpa masa depan.'
~anonymous~

***********************************
"Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada kesedihan dan dukacita, segala-galanya dalam pengetahuanMu, bantulah aku mengatasi rasa ini menurut kehendak dan kekuasaanMu, yang terbaik buatku di dunia dan di akhirat."

Wednesday, November 26, 2014

Dongak Ke Atas


Dongak ke atas
Rendahkan hati
Tadahkan tangan
DIA ada di sana, sentiasa..

Mengadu pada DIA
Merintih pada DIA
Meminta pada DIA
Merayu pada DIA

Semoga,
Sembuhlah luka di masa lalu

Semoga,
Indahlah takdir di hadapan sana

Yakinilah,
Sesungguhnya DIA
Sebaik-baik penolongmu!

Monday, November 24, 2014

Makanan Anti Kolesterol

Uikss, tiba-tiba buat posting pasal kesihatan? Pagi tadi jumpa satu link di FB, tentang beberapa makanan yang dapat mengawal dan menurunkan kadar kolesterol dalam badan. Penting sebenarnya untuk kita ambik tahu tentang apa yang kita makan, apatah lagi bagi yang jenis kurang aktiviti fizikal seperti saya ni. Kalau sebelum ni, di sekolah ada la jugak bergerak ke sana-sini, naik tangga blok itu dan blok ini, kuarters pun di tingkat 4, tapi bila balik bercuti di kampung, selama sebulan pulak tu, saban hari memerap dalam rumah je dan kawasan lawatan utama semestinya adalah DAPUR, maka teramatlah penting untuk saya kawal apa yang saya makan, termasuklah insan2 tersayang terutamanya ayah dan emak yang sudah semakin berusia.

Malam ni bila cari balik link tu, tak jumpa la pulak! Tapi takpe, ada banyak rujukan di internet tentang ni, tinggal lagi kita rajin ke tak rajin nak cari, dan kalau dah cari kena la rajin pulak nak baca, dan yang paling penting, mesti rajin untuk amalkan dalam kehidupan seharian.

****************************************************************

MAKANAN ANTI KOLESTEROL

1. SOYA

Kacang soya merupakan makanan popular yang diproses untuk mendapatkan kacang soya, ia mengandungi 48% protein, lesitin, vitamin & zat galian. Ia juga dapat menghidarkan penyakit jantung dan kencing manis. Kaya kalsium dan mineral yang membantu memecah lemak. Ia membantu menyusutkan kadar Lemak jahat (LDL) dan meningkatkan kadar lemak baik (HDL).

*saya tak suka soya dan tak minum air soya, tapi sekarang saya amalkan minum ESP Shaklee, campur dengan milo atau jus, nasib baik lalu nak telan.

2. KUACI


Kuaci mempunyai kandungan zat besi. Pola pemakanan yang rendah dengan zat besi boleh menaikkan kadar kolestrol LDL sekaligus menghadkan kolestrol HDL. Mulakan pengambilan kuaci jenis tawar seperti dari jenis labu atau bunga matahari untuk menambah zat besi serta mengurangkan kolestrol.

*Ok, lepas ni boleh makan kuaci sambil2 tengok tv atau baca buku, yang penting pastikan ada logo HALAL yang sah.

3. BUAH-BUAHAN KERING


Antara pelbagai jenis buah kering, limau kering adalah yang paling banyak mengandungi flavanoid. Pengambilannya mampu menyingkirkan lebihan lemak LDL sehingga dapat mengurangkan risiko serangan jantung. Flavanoid juga boleh diperolehi dalam brokoli, tomato, bawang serta delima.

*banyak buah-buahan kering dijual sekarang ni, lepas ni boleh usha2 kat kedai, rasanya pernah nampak kat kedai Ajees di Batas Baru.

4. EPAL


Memakan sebiji epal @ meminum jusnya setiap hari cukup untuk membekalkan khasiat bagi mengurangkan kandungan kolestrol dalam badan. Kanak-kanak yang mengambil makanan segera dan kemudian memakan epal @ meminum jusnya, sebenarnya boleh menyeimbangkan kandungan zat dan mencegah berlakunya lemak dalam badan.

*huhu, luckily saya suka makan epal hijau cecah colek (macam makan mangga muda tu), dan sekarang suka pulak buat jeruk epal hijau dengan asam boi, cuma kena pastikan jangan letak gula dan asam boi banyak sangat, tak elok untuk kesihatan.

5. IKAN TUNA


Ianya termasuk sumber asid lemak omega-3 yang popular, selain salmon dan makarel. Omega-3 secara khusus melindungi tubuh daripada peningkatan kadar kolestrol LDL.

*err, tuna dalam tin tu ok ke, ek? saya suka je masak pasta dengan tuna, letak cili padi banyak2, perah lemon, perghh!

6. KACANG TANAH


Kacang tanah yg dipanggang mengandungi lemak sihat dan kaya dengan vitamin E. Ia boleh menghalang radikal bebas agar tidak merosakkan kolesterol LDL dan dapat menghindari tubuh daripada serangan jantung.
*sedapnya nasi impit kuah kacang, cucur udang cicah kuah kacang pun sedap, hahaha! Tapi kan, tak berani sangat makan kacang tanah ni, takut jerawat, huhu..

7. MANGGA

Terdapat banyak Vitamin C dalam mangga. Sumber lain : belimbing, kedondong, betik, rambutan, strawberi dan kiwi. Vitamin berupaya mencegah kolestrol LDL dalam tubuh.

*antara buah favourite, sama ada yang masak ranum, yang mengkal ataupun yang masih muda. Teringat masa duduk Tawau dulu, buah ni mahal gile, tak pernah kurang daripada RM10 sekilo! Tahun ni bila dah duduk semenanjung, masa musim mangga tiap2 kali pergi pasar malam mesti beli, macam orang kemaruk! 

8. KISMIS


Mengandungi sebatian yang mampu menurunkan kolestrol. Sesiapa yang mengamalkan diet dengan 400 kalori kismis setiap hari boleh menurunkan kadar kolestrol dalam darah sebanyak 8%.

*yang ni bagi sebotol pun boleh habis sekali hadap je :p

9. OAT

Banyak kajian saintifik yang dijalankan, menunjukkan bahawa pengambilan oat setiap pagi boleh menurunkan kolestrol dalam darah. Serat mudah larut dalam oat boleh mengurangkan risiko penyakit jantung sekiranya dijadikan sebahagian diet rendah lemak dan kolestrol anda.

*tak lalu nak telan kalau yang bancuh dengan minuman atau susu..thanks to Google yang macam2 ada tu, 2 tahun kebelakangan ni dah boleh makan benda alah ni, dengan sedikit kerajinan untuk olah dia jadi itu dan ini. InsyaAllah nak buat satu entri tentang ni nanti, harap2 tak lupa :)

10. JAMBU BATU

Ia mampu menurunkan paras kolestrol dalam badan sebanyak 18.8%. Disyorkan mengambilnya setiap hari dalam jumlah mencukupi bagi memastikan khasiatnya bertindak balas kepada tubuh. Jumlah yang disyorkan ialah 400gm sehari, iaitu sebiji setengah selama empat minggu. Bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan tanpa melupakan diet seimbang, jambu batu adalah pilihan yg sesuai.

*sangat suka! makan kosong, cecah colek, tabur asam atau gaul dengan sedikit garam, semua sedap! :p

11. BAWANG PUTIH

Selain berfungsi sebagai anti bakteria, bawang putih didapati sangat baik untuk mengelakkan penyakit serangan jantung dan mengurangkan tekanan darah tinggi dan penyakit kanser. Kajian saintis juga mendapati bawang putih mampu mengurangkan penyempitan kolesterol pada saluran darah dalam kardiovaskular manusia. Kajian lain nyatakan ianya dapat kurangkan kandungan gula dalam badan dan mengurangkan batuk.

*sekarang kalau memasak memang suka lebihkan bawang putih, tapi tak makan pun, mesti tolak tepi pinggan, mana2 yang kecik2 dan tak perasan tu telan je :p Tapi kalau garlic bread, yummy, suka! Buat garlic spread sendiri - tumbuk bawang putih, campur dengan butter/marjerin, tambah oregano/parsley, simpan dalam peti ais - sapu kat roti then bakar sekejap dalam oven, cecah dengan apa2 dip, wallaah!

12. MINYAK ZAITUN


Minyak zaitun mengandungi campuran antioksida yang kuat yang boleh mengurangkan kadar kolesterol tidak baik (LDL) tanpa mengurangkan kadar kolesterol baik (HDL). Disyorkan mengambil dua sudu makan (23gram) minyak zaitun sehari.
Boleh juga gunakan minyak zaitun dalam masakan.

*yang ni benar2 terbukti. Ayah saya amalkan minum minyak zaitun setiap hari lepas keluar daripada hospital, dan bila buat check-up kat klinik, level kolesterol dia semakin menurun, alhamdulillah! Oleh kerana banyak sangat supplemen yang saya nak telan setiap hari, tak larat dah nak telan minyak ni mentah2, insyaAllah lepas ni nak google cara penggunaan minyak ni dalam masakan, masak guna minyak zaitun la pulak..

**********************************************************************************************
Semoga perkongsian ini bermanfaat, untuk sama2 kita amalkan demi menjaga kesihatan tubuh badan yang Allah amanahkan kepada kita. Nabi SAW pun ada berpesan - 'Ingat lima perkara sebelum lima perkara' dan salah satunya - sihat sebelum sakit. Kesihatan tubuh badan adalah sangat penting, kerana dengan tubuh badan inilah kita nak mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan, berbakti kepada ibu bapa dan keluarga, dan paling penting - untuk beribadat kepada Allah. Jangan sesekali kita khianati amanah Allah ini dan menzalimi diri sendiri dengan mengabaikan kesihatan tubuh badan. 


Sunday, November 16, 2014

R.I.N.D.U


Rindu itu,
antara dua;

Sama ada menjadi air mata,
berharap rindu akan pudar dan hilang

Atau,

Menjadi doa dan harapan,
Agar rindu mampu menjadi sumber pahala,
dan penguat diri.

-anonymous-

*******************************************

'Orang-orang yang merindu, namun tetap menjaga kehormatan perasaannya, takut sekali berbuat dosa, terus memperbaiki diri hingga waktu memberikan kabar baik, boleh jadi doa2nya menguntai hingga ke langit. Kalaupun tidak dengan yang dirindukan, boleh jadi diganti dengan yang lebih baik.'

-Darwis Tere Liye-

*******************************************

~air mata dan doa, dua2 sudah dilalui...menunggu dan terus menunggu - khabar baik dari Yang Maha Baik - moga akan tiba jua, one fine day, insyaAllah!~

《huhu, posting jiwa kacau sekali-sekala, layankan je la...》


Tuesday, November 11, 2014

Mengharap Jannah


Rasa sebak baca kata-kata kat gambar ni; rasa kerdil, banyak dosa, kurang amal kebaikan, rasa tak layak untuk syurga yang penuh kenikmatan. 

Teringat lirik lagu Raihan - I'tiraf:

Wahai Tuhan ku tak layak ke syurgaMu
Namun tak pula aku sanggup ke nerakaMu
Ampunkan dosaku terimalah taubatku
Sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar...

Ya, walaupun kita rasa tak layak untuk syurga Allah, namun kita lebih takut dan tak sanggup untuk merasai azab di neraka Allah yang maha dahsyat dan pedih. Jadi, mahu tak mahu, rasa layak atau tak layak, kita MESTI berusaha untuk ke syurga!

Allah Maha Pengasih
Allah Maha Penyayang
Allah Maha Pemurah
Allah Maha Pengampun
Allah Maha Penerima taubat
Allah Maha Mendengar
Allah Maha Melihat
Allah Maha Mengetahui

Kita usahakan,
Di samping istiqamah dengan ibadah dan amal soleh,
Kita meminta, memohon, merintih dan merayu kepadaNya,
Mudah-mudahan DIA belas kasihan terhadap kita,
InsyaAllah!

"Ya Allah, kami memohon dariMu keredhaan dan syurga, dan lindungilah kami daripada kemurkaanMu dan azab api neraka"


Saturday, November 8, 2014

Completely (Michael Bolton)


COMPLETELY

Completely, wanna give my love, completely
I'd rather be alone than be in love just half the way
I want to find someone that I can trust, completely
Wanna give my heart, completely
To someone who'll completely give their heart to only me
And when I find that one
That's when I'll fall in love

[Chorus:]
Completely
Not half but whole
With heart and soul
Completely, not in between
But everything
Completely
That's the way it's got to be
The way I want someone to fall in love with me

Forever, wanna feel the word, forever
And know there'll be somebody there forever by my side
And when that feeling comes
That's when I'll give my love

[Chorus]

It's all or nothing at all for this heart of mine
And I won't give up this heart until the day I find
Someone who can be
Someone who loves me

*****************************************************************
Huwaaaa, lirik & melodi dia, menusuk ke jantung gitu!! Sebenarnya version Lena Park nyanyi dalam Immortal Song tadi lagi best, tapi sebab baju dia seksi 'banyak', rasa bersalah kalau nak upload kat sini. So, letak version penyanyi asal je la.. Perghh, dahsyat la Korea ni, buat edisi Michael Bolton Special untuk Immortal Song, siap jemput datang dari LA! Dan baru hari ni tau dia la yang nyanyi lagu When A Man Loves A Woman.. Lepas ni, misi hunting lagu2 Michael Bolton, skodeng sikit kat youtube tadi, tajuk lagu2 dia macam jiwang je, macam kena ngan jiwa je :p 

Confirm kena beli data tambahan lagi ni, aigooo...

*************************************************
Yes, completely...
Not half but whole
Not in between but everything
simpan untuk yang halal


Friday, November 7, 2014

.....


Hendak gugur, gugurlah nangka,
Jangan menimpa si dahan pauh;
Hendak tidur, tidurlah mata,
Jangan dikenang orang yang jauh.



Tuesday, November 4, 2014

BMW :)



Semasa memantau pelajar tingkatan 3 solat zohor di surau hari ni :

Saya : cepat la pelajar lelaki, ambik wudhu' pastu ready untuk     sembahyang.

Pelajar : cikgu, budak laki macam biasa la...(sambil gelak-gelak)

Saya : macam biasa apa? 

Pelajar : BMW

Saya : BMW? Ape kaitan bmw dengan awak?

Pelajar : Belum Mandi Wajib (gelak lagi) macam mana ni cikgu, kalau belum mandi wajib, berdosa kalau saya sembahyang ni..

Saya : oiii, takkan la tengok cerita kartun Frozen tu pun sampai tahap kena mandi wajib?? (sebelum bergerak ke surau diorang menonton Frozen di Dewan B).

*ok, noted. Kalau pelajar perempuan ada alasan ABC = Allah Bagi Cuti untuk tak solat, yang lelaki pulak guna alasan BMW = Belum Mandi Wajib, nak jugak diorang ni ye!

======================================================
Point sebenar yang nak di'highlight' dalam post ni :

Eiii, tak malu langsung diorang ni cakap macam tu dengan cikgu! Awal-awal dulu terkejut jugak dengar diorang cakap gitu, tapi tak tunjuk melatah la, lawan je balik nak bagi diorang malu. Tapi, tak reti-reti malu jugak, makin lama makin menjadi pulak, sampai cikgu pun naik malu dah nak menjawab!

Seingat saya, sepanjang saya sekolah dulu, tak pernah pun saya dengar ada pelajar yang melawak macam tu dengan cikgu. Yang perempuan nak bagitau uzur pun malu.. kesiannya generasi diorang ni, rasa malu makin lama makin terhakis dari diri, tapi diorang tak sedar semua tu, langsung tak rasa apa-apa, tau nak seronok dan enjoy je, kita yang tengok ni rasa kesian dan risau masa depan diorang nanti..

Semoga Allah memberi hidayah untuk mereka, dan untuk kita juga, amin!

*lepas ni kalau nampak kereta BMW mesti saya akan teringat pasal ni, oh my student!

Amalan Murah Rezeki

Sumber : FB Mudahnya Menjemput Rezeki

Jika tak dapat buat semua, janganlah tinggalkan semua, niatkan ikhlas kerana Allah, rezeki dapat, pahala dapat, redha Allah pun dapat, insyaAllah! 

Sunday, November 2, 2014

Tasu'a' & 'Asyura'


'Tasu'a' bermaksud 'ke-9' dan 'Asyura' bermaksud 'ke-10' (bahasa arab) iaitu merujuk kepada hari ke-9 dan ke-10 dalam bulan Muharram, yang mana disunatkan berpuasa pada kedua-dua hari tersebut. Kalau tak puasa hari ni (9 muharram) masih boleh berpuasa esok (10 muharram), dan amat beruntungnya kita pada tahun ini 10 muharram jatuh pada hari isnin, mudah-mudahan ganjaran pahala puasa sunat kita nanti berganda-ganda; dapat pahala puasa sunat 'asyura dan dapat juga pahala sunat hari isnin, insyaAllah. 

**alhamdulillah tahun ni merasa makan bubur 'asyura, mak2 saudara gotong-royong masak sama2 hari jumaat lepas, dan kebetulan pulak saya balik kampung. Rasanya kali terakhir makan bubur asyura atau orang Terengganu sebut 'sure' ni dua atau tiga tahun lepas, masa tu bulan Muharram dalam waktu cuti sekolah, dapat la sama2 rewang dengan mak2 sedara masak 'sure'.

Saturday, November 1, 2014

:(


:(

Sebelum dapat tengok result bukan main rasa yakin akan dapat terima apa pun keputusannya...tapi tewas jugak, menitis jugak air mata...
Khidmat masih diperlukan di SMK Keratong, itulah tempat yang terbaik Allah nak letak saya buat masa ini, sehinggalah suatu masa nanti DIA juga yang akan aturkan rezeki saya di tempat lain pula, insyaAllah! 

Wednesday, October 29, 2014

Penghulu Istighfar


Maksudnya :

"Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Engkau. Engkau telah menciptakanku dan aku adalah hamba-Mu. Dan aku tetap di atas perjanjian dan taat setia terhadap-Mu dengan segala kemampuanku. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui segala nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosa yang aku lakukan. Oleh itu ampunilah dosaku, sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa melainkan Engkau."

...............................................................................

Fadhilat membaca Sayyidul Istighfar/ Penghulu Istighfar:

"Sesiapa yang membacanya dengan penuh keimanan (keyakinan) pada waktu petang dan mati pada malam itu, maka masuk syurga. Demikian juga sesiapa yang membacanya pada waktu pagi dan mati pada hari itu masuk syurga." [Hadis riwayat Bukhari]


* zikir ini terkandung di dalam Al-Ma'thurat, iaitu sekumpulan zikir dan doa yang diamalkan secara rutin oleh Rasulullah SAW. Jom tambah sayyidul istighfar dalam doa setiap kali selepas solat, mudah-mudahan dosa-dosa kita yang banyak tu diampunkan oleh Allah, dimurahkan rezeki, dilapangkan daripada kesusahan, dan kita tergolong dalam kalangan ahli syurga di akhirat nanti.

Sunday, October 26, 2014

Ahlan 1436H!


Andai rasa diri lemah
Di perjalanan hijrahmu
Sendirian tanpa mampu
Mohonlah pada Tuhanmu

Hijrah ini memang susah
Hijrah ini memang payah

..............................................................

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan mereka sendiri." [Ar-Ra'd : 11]

Sampai pada ayat ni masa baca quran lepas selesai baca doa awal tahun, 1 Muharam baru-baru ni. Termenung sekejap..terkejut pun ya, terfikir-fikir - adakah ini salah satu cara Allah 'menegur'?

Ya Allah, bantulah kami untuk mengingatiMu, mensyukuri nikmatMu dan memperelokkan ibadah kepadaMu!

*semoga diberi kekuatan untuk 'berhijrah'...

Salam Maal Hijrah 1436, kullu 'aam wa antum bikhair, insyaAllah! 







Tuesday, October 21, 2014

Happy Birthday, Salmi!


Saengil chukka hamnida, chin-gu! (Selamat ulangtahun kelahiran, sahabat!) Semoga sentiasa diberkati dan dirahmati Allah selalu, dimurahkan rezeki, dipermudah segala urusan, dilimpahi kasih sayang keluarga dan teman-teman, insyaAllah.

Miss you so much! Terima kasih untuk persahabatan yang sangat bermakna, 4 tahun jadi housemate yang penuh dengan kenangan berharga. Mudah-mudahan ada rezeki untuk kita bertemu semula, one fine day, insyaAllah :)



Pic Quotes : People


Q : Which one is me?

Sunday, October 19, 2014

Jangan Cintai Aku Apa Adanya (Tulus)


Jangan cintai aku
Apa adanya
Tuntutlah sesuatu
Biar kita jalan ke depan

Mula-mula dengar lagu ni dan tahu wujud penyanyi nama Tulus ni masa tengok Anugerah Planet Muzik baru-baru ni, dia tercalon kategori artis baru lelaki terbaik dan menang, so masa VT senarai calon ada la sedutan lagu-lagu diorang sikit-sikit, lepas dengar lagu Tulus ni, terus search kat internet untuk dengar full.

Lagu ni best kat korus je rupanya, yang lain-lain tak sedap pun..so, kenapa post?? Sebab lain dari yang lain! Biasanya kita jumpa lagu yang liriknya 'cintai aku apa adanya', 'terima diriku seadanya', kan? Tapi lagu ni sebaliknya, satu pihak meminta pihak yang satu lagi menuntut lebih daripada yang telah dilakukannya, bukan sekadar menerima apa sahaja yang diberi/ dilakukan olehnya.

Mungkin orang macam ni adalah seorang yang suka cabaran dalam perhubungan, yang tak suka terima sesuatu dengan cara yang terlalu mudah, yang merasakan dia perlu kepada pembuktian kesungguhannya - bukan untuk pasangannya, tapi untuk dirinya sendiri, untuk menyedarkannya bahawa dia benar-benar sedang mencintai pasangannya.

Ini mungkin jarang terjadi, kan? (saya agak sahaja..)

Haha, inilah penangan belajar Social Psychology dulu, pernah semasa belajar topik apa ntah, lecturer suruh apply topik tu melalui lirik lagu. Semenjak tu, bila dengar satu-satu lagu mesti akan fikir apa kisah lagu tu.. :p

Apa pun, ada pengajaran yang pernah saya dapati, iaitu jangan terlalu 'menuntut' dalam sebuah perhubungan yang masih tiada kepastian, kerana ia hanya akan menjadi penambah jarak; jarak rasa dan jarak rasi antara kedua-dua pihak. Jika terpaksa 'menuntut' juga, pastikan pihak yang dituntut memahami tujuan tuntutan tersebut, ada kalanya tuntutan dibuat bukan untuk kepentingan diri pihak yang menuntut, tapi demi kebaikan diri pihak yang satu lagi...

Friday, October 17, 2014

Happiness Is...


...having my collection of books grows day by day!
Tapi, takde maknanya jugak kalau beli then susun je berderet atas rak tapi tak baca, kan?
Semoga diberi kesempatan waktu untuk 'mengulit' sayang2 saya ni :)

Read!


Waaah, bestnya kalau dapat satu ruangan khusus untuk buku di rumah, kan? Lagi best kalau ada rak yang sangat cool macam dalam gambar tu :)

Hujung minggu bertamu lagi..sepatutnya minggu ni balik kampung, tapi ditunda dulu sebab rabu minggu depan dapat cuti direct sampai ahad sempena Deepavali. 

Bila tak balik kampung dan menghabiskan cuti hujung minggu di Keratong, biasanya saya stay kat kuarters je, kadang-kadang tak keluar langsung sepanjang weekend, pagi isnin baru jejak tanah semula sebab nak pergi sekolah, hahaha, anti-sosialkah?

Peneman saya masa weekend biasanya buku, tv, internet dan bantal :p Banyaknya lagi buku kat atas rak yang belum dibaca, dan satu peralihan besar yang berlaku pada saya sekarang ialah saya lebih suka baca buku motivasi berbanding novel. Seringkali terfikir sendiri, 'kerana faktor usia,kah?' Aduh, tak sanggup nak mengakui 'YA' untuk persoalan tu, tapi sedapkan hati sendiri - 'syukurlah, terbuka jugak hati ni nak baca buku yang beri banyak ilmu dan manfaat.'

Beberapa orang rakan ada menegur (memuji) kerajinan saya membaca (berdasarkan aktiviti di Goodreads dan ulasan di blog), dan jawapan saya - selain untuk menambah ilmu, saya membaca untuk mencari ketenangan, mencari nasihat dan pujukan buat hati sendiri, untuk 'distract' minda saya daripada memikirkan dan mengenang sesuatu yang dah berlalu, untuk saya bangunkan semula semangat saya yang pernah runtuh, untuk sedarkan dan ingatkan diri saya tentang hakikat diri sebagai hamba yang harus akur dan tunduk pada segala ketentuan Allah SWT. Dan alhamdulillah, dengan membaca dapat membantu saya, biarpun tidak sepenuhnya tapi sekurang-kurangnya ada masa-masa tertentu saya rasa sangat positif :)

Sebenarnya kadangkala saya takut dan bimbang kalau-kalau minat saya terhadap buku akan semakin memudar. Jadi, sebelum ia terjadi, saya kena paksa diri, usahakan untuk membaca juga walaupun sedikit, dan kalau tak sempat baca, kena pandang jugak buku walaupun sepintas lalu! Haha, bunyinya macam teruk sangat paksa diri, macam orang nak exam je, kan? Kalau setakat untuk pandang je buku, tak ada masalah, sebab rak buku saya kat sebelah katil je, dan dah memang habit saya sejak sekolah menengah, mesti kena ada sebuah buku kat sebelah bantal, bangun tidur nak kemas katil nampak buku, sebelum tidur masa tepuk-tepuk bantal pun nampak buku :)








Tuesday, October 14, 2014

Terimalah Pilihan Allah


"..boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia tidak baik bagimu. Dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui semua itu, sedang kamu tidak mengetahui."
[Al-Baqarah : 216]