Thursday, April 21, 2011

Cabaran 50 Novel/Buku [11] : Salju Sakinah (Zaid Akhtar)


Judul : Salju Sakinah
Pengarang : Zaid Akhtar
Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd 
Genre : Sastera
Mukasurat : 559  halaman

Salju Sakinah mengisahkan tentang Sumayyah, pelajar tahun akhir Universiti Yarmouk, Jordan. Kisah bermula beberapa minggu sebelum Sumayyah menduduki peperiksaan akhir, tiba-tiba didatangi warkah kiriman seseorang yang amat dinanti olehnya. Malangnya, warkah yang dinanti rupa-rupanya membawa perutusan duka, Afnan memutuskan ikatan kasih sayang mereka secara tiba-tiba dan meminta melupakan dirinya kerana dia bakal berkahwin dengan pilihannya yang lain di Kaherah. Khabar duka itu disimpan diam-diam oleh Sumayyah, tidak diceritakan kepada teman-teman rapatnya, Hakimah dan Fatehah.

Dalam kegalauan hatinya menghadapi kesedihan itu, berlaku satu peristiwa yang menemukannya dengan seorang mahasiswa senegara di universiti yang sama, lelaki berkopiah ala Raihan, yang cukup meninggalkan bekas di hatinya. Tidak lama selepas itu, selaku mantan exco tertinggi siswi, dia telah diundang sebagai salah seorang panel forum anjuran Persatuan Mahasiswa Malaysia Yarmouk (PERMAYA). Meski bakal menduduki peperiksaan paling penting, serta hati yang sedang gundah dengan berita perpisahan, Sumayyah yang tebal dengan semangat da’ie tetap menerima tugasan tersebut, yang tanpa disangka telah menemukannya lagi dengan lelaki berkopiah ala Raihan yang telah membantunya, Naufal.

Peperiksaan akhir berlangsung, dan Sumayyah melaluinya dengan persiapan yang sebaiknya. Lima hari selepas peperiksaan selesai, seperti yang telah dirancang, Sumayyah terbang meninggalkan bumi Jordan, dengan rindu yang sarat kepada keluarga di tanah air. Namun, tanpa diduga, dia disambut dengan berita yang maha mendukacitakan rasa, abah yang amat disayangi rupanya telah pergi dijemput Ilahi! Belum lagi sembuh rasa duka lewat warkah Afnan, dia diduga lagi, dengan rasa duka yang lebih besar. Beberapa hari pemergian abahnya ditangisi, dia mula sedar akan tanggungjawabnya menjaga umi dan menguruskan perusahaan kerepek yang ditinggalkan oleh arwah abahnya.

Dengan dibantu oleh Muazam, pemuda bersuara persis Afnan yang menjadi pekerja kepercayaan arwah abahnya, Sumayyah mula menyesuaikan dirinya dengan urusan perniagaan. Dalam kesibukan dengan urusan di Desa Wali, Sumayyah juga mula melibatkan diri dengan aktiviti dakwah dan tarbiyah di sekitar daerahnya, atas ajakan dan dorongan bekas gurunya, Ustazah Samihah. Sumayyah semakin betah dengan kehidupan barunya, menjaga umi, menguruskan Desa Wali dan melibatkan diri dalam dakwah dan tarbiyah.

Namun, ujian Allah sentiasa ada untuk mengangkat darjat hambaNya yang bertakwa. Begitu yang menimpa Sumayyah. Di kampung, dia diuji dengan fitnah Zaleha- jiran yang cemburu dan menuduh Sumayyah menggoda suaminya; diuji dengan Kak Long dan suaminya yang terpengaruh dengan ajaran sesat Tok Ayah Mit; dan juga kehadiran bekas teman sekolah- Lokman yang saban waktu menagih kasih darinya. Sebagai manusia biasa, ada kalanya dia hampir tewas dengan ujian yang mendatang, namun sebagai seorang yang punya pegangan agama yang utuh, Sumayyah terus mengharunginya dengan tabah dan yakin dengan ketentuan Allah, di samping berbekal semangat yang selalu diulang arwah abahnya bahawa dia harus kuat dan tabah, setabah Sumayyah Ummu Ammar bin Yasir! 

Satu per satu dugaan ditempuhi, dan Sumayyah teruji lagi, apabila mengetahui salah satu subjek yang diambilnya tidak lulus, dan untuk bergelar seorang graduan yang hakiki dia perlu kembali ke Jordan semula untuk mengulang semula subjek tersebut. Dengan hati yang berat dan rasa malu yang tebal, dia kembali semula ke sana untuk menyelesaikan pelajaran yang belum sempurna, tanpa menduga ada takdir yang indah untuknya di sana. Rencana Allah untuk hambaNya tak siapa pun mampu menduganya, dan sesungguhnya benarlah bahawa di setiap kesulitan pasti akan muncul kesenangan, pada setiap yang terjadi pasti ada hikmah yang tersembunyi.
_______________________

Apa kata saya:

Saya amat meminati karya Zaid Akhtar, semenjak saya mula mengenalinya melalui novel pertama beliau – Sesegar Nailofar. Selepas Sesegar Nailofar, saya juga membaca Rona Bosphorus dan novel ini, Salju Sakinah merupakan karya ketiga beliau yang saya senangi.

Gaya bahasa yang digunakan oleh Zaid Akhtar dalam SS masih ada persamaan dengan SN dan RB, dan mungkin juga lebih baik berbanding kedua-duanya (saya agak sahaja kerana kedua-duanya saya baca lebih kurang 10 tahun yang lalu). Beliau masih selesa menggunakan perkataan-perkataan arab untuk menggantikan perkataan melayu seperti ‘karib’(dekat), ‘rafik’(teman/ kawan), ‘istifham’(persoalan/pertanyaan), ‘mauduk’(topik/tajuk), ‘rukyah’ (pandangan), ‘jihat’ (arah/sudut) dan banyak lagi. Bagi seorang yang pernah belajar Bahasa Arab, hal ini tidak menjadi kesulitan malah saya menyenanginya, dan bagi yang tiada pengetahuan Bahasa Arab tidak perlu risau, kerana glosari disediakan di muka surat terakhir novel 559 halaman ini. Selain itu, banyak juga perkataan melayu yang jarang ditemui dalam buku-buku biasa digunakan oleh penulis dalam novel ini, sebahagiannya tidak pernah saya temui sebelum ini (mungkin kerana saya kurang membaca karya sastera).

Setiap novel yang ditulis oleh Zaid Akhtar pasti mengandungi satu isu utama yang menjadi tunjang ceritanya, dan dalam buku ini beliau mengemukakan isu ajaran sesat. Isu ini ditonjolkan melalui kisah kakak sulung Sumayyah bersama suaminya yang terpengaruh dengan ajaran sesat satu kumpulan yang diketuai oleh Tok Ayah Mit. Penglibatan pasangan tersebut dalam ajaran sesat tersebut telah mengubah sikap Kak Longnya terhadap keluarga, dan menjadi salah satu ujian yang besar buat Sumayyah. Walau bagaimanapun, pada pandangan saya penulis tidak mengupas isu ini dengan mendalam dan terperinci, sedangkan ada ruang untuk didalami dengan lebih baik.

Satu pujian saya buat penulis ialah- beliau berjaya menggarap watak Sumayyah dengan baik sekali. Bukan mudah untuk seorang penulis bercerita tentang watak yang berlawanan jantina dengan dirinya sendiri, tetapi watak Sumayyah dapat dibangunkan dengan baik oleh Zaid Akhtar, pada pendapat saya sebagai seorang perempuan. Ini adalah perbezaan terbesar Salju Sakinah berbanding Sesegar Nailofar dan Rona Bosphorus, kerana kedua-duanya ditunjangi watak lelaki- Iqbal (SN) dan Afham (RB). Watak Sumayyah digarap dengan kekuatan dan kelemahan, tidak terlampau idealistik. Begitu juga dengan cara perhubungan Sumayyah dan teman-temannya seperti Hakimah, Fatehah, Izzati dan Marianis – sangat ‘hidup’, tidak kaku dan saya rasa seolah-olah persahabatan mereka benar-benar berlaku, bukan direka-reka, sehingga lelucon dan usik-mengusik mereka turut saya ‘sertai’ dengan senyuman semasa membacanya.

Salah satu bahan bacaan yang baik bagi saya adalah yang mampu membuat saya mengeluarkan air mata, dan itulah yang berlaku semasa saya membaca Salju Sakinah. Satu per-tiga yang pertama, sudah banyak air mata saya yang mengalir; saya kasihankan Sumayyah yang sedih ditinggalkan Afnan; saya terkesan oleh kesayuan hati Sumayyah berpisah dengan teman-teman baiknya di Jordan; dan saya amat sayu dan sedih apabila kepulangan Sumayyah disambut dengan berita abah tersayang dan amat dirindui telah pergi dijemput Ilahi. Saya cuba membayangkan jika saya yang berada di tempat Sumayyah, dugaan demi dugaan datang bertimpa-timpa!

Soal hati, cinta dan jodoh seperti sudah menjadi sesuatu yang sinonim dengan Zaid Akhtar (ini pendapat peribadi saya sahaja). Hal ini saya temui dalam ketiga-tiga novel beliau, Sesegar Nailofar, Rona Bosphorus, dan Salju Sakinah juga. Hal ini bagi saya bukanlah sesuatu yang negatif, malah salah satu faktor penarik untuk saya setia meminati karya beliau, selain susunan bahasa yang indah dan segar. Dalam Salju Sakinah, beberapa watak lelaki muncul dalam hidup Sumayyah ; Naufal, Lokman dan Muazam, yang membuat pembaca tertanya-tanya, jejaka manakah yang akan berjaya mendapat cinta Sumayyah? Namun, jika anda seorang peminat karya Zaid Akhtar, jawapannya sudah boleh dimaklumi sebelum cerita berakhir. Jadi kepada penulis, saranan saya mungkin Ustaz boleh mencipta penamat yang berbeza dan tak terjangkakan untuk karya yang seterusnya nanti, jika ada.

Secara keseluruhannya, saya menyenangi Salju Sakinah, terutama dua per-tiga bahagian yang pertama, iaitu semasa Sumayyah masih berkuliah di Jordan dan semasa Sumayyah berada di Malaysia. Bab-bab terakhir bagi saya sudah agak meleret-leret, kisah cinta selepas perkahwinan antara Sumayyah dan suaminya pada pandangan saya tidak perlu dipanjang-panjangkan, dan menjadikan Salju Sakinah seolah-olah sama dengan novel cinta yang berlambakan di pasaran. 

Tahniah diucapkan kepada Zaid Akhtar atas kejayaan terhasilnya Salju Sakinah, insyaAllah jika ada lagi karya terbaru beliau saya tidak akan teragak-agak untuk mendapatkannya. Kepada peminat novel yang ada pengisian islami dengan garapan bahasa yang segar dan indah, dapatkanlah novel yang sudah diulang-cetak sebanyak 8 kali ini, hayatilah perjalanan hidup seorang Sumayyah, insyaAllah ada kepuasan yang bakal dirasai.

Thursday, April 14, 2011

Cabaran 50 Novel/Buku [10] : Bumi Cinta (Habiburrahman El Shirazy)


Tajuk : Bumi Cinta
Penulis : Habiburrahman El Shirazy
Penerbit : Ar-Risalah Product Sdn. Bhd
Muka surat : 722

Sedutan sinopsis kulit buku :

Apa yang akan berlaku, jika seorang graduan lulusan agama, bernama Muhammad Ayyas, hidup di Negara yang amat menjunjung tinggi seks bebas dan pornografi, iaitu Russia? Adakah iman dan kehormatannya dipertaruhkan demi memenuhi hasrat duniawi gadis-gadis muda Moskow, yang kecantikan mereka tiada taranya?

Cerita ini mengisahkan tentang seorang mahasiswa bernama Muhammad Ayyas yang merupakan graduan lulusan agama dari Timur Tengah yang kemudiannya melanjutkan pengajian peringkat sarjana di India dalam pengkhususan pengajian sejarah. Dari India, beliau telah berkunjung ke Moskow bagi mendapatkan data-data untuk penulisan sarjananya, iaitu tentang sejarah perkembangan Islam semasa era Stalin di Rusia. Permusafirannya di Moskow telah menemukannya dengan beberapa individu tertentu dan telah mengalami satu pengalaman yang tidak pernah dilaluinya selama ini, yang benar-benar menguji keimanannya dan keteguhan aqidahnya.


Setibanya di Moskow, Ayyas telah disambut oleh teman lamanya dari Indonesia, Devid, yang telah membantu mencari tempat tinggal untuknya di Moskow. Kejutan pertama buat Ayyas ialah apabila mengetahui dua lagi rakan penyewanya adalah perempuan! Dua orang perempuan yang menyewa apartmen bersama Ayyas adalah Yelena, seorang pelacur kelas atasan yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan, dan seorang lagi ialah Linor, seorang wartawan, pemain biola terkenal dan juga merupakan ejen perisikan Mosad beragama Yahudi yang amat memusuhi Islam.

Dalam melakukan tugasan sarjananya di Moskow, Ayyas telah ditemukan pula dengan seorang pensyarah muda yang pintar dan cantik, Dr. Anastasia Palazzo, yang menggantikan tempat seorang pensyarah yang sepatutnya menjadi pembimbing Ayyas di Rusia. Sepanjang menjadi pembimbing Ayyas, Dr. Anastasia dapat melihat kebaikan dan kepintaran yang ada pada diri Ayyas, dan seterusnya menumbuhkan perasaan halus di jiwa pensyarah muda itu, tetapi ada tembok penghalang yang amat besar di antara mereka iaitu agama, kerana Dr. Anastasia adalah penganut Kristian yang totok.

Ujian buat Ayyas di Moskow amat besar bagi seorang Muslim sepertinya. Dia teruji oleh cara Yelena dan Linor berpakaian di rumah; oleh pergaulan lelaki dan wanita yang terlalu bebas tanpa sebarang batasan; oleh pesona Dr. Anastasia yang amat menawan hati; oleh perancangan jahat pihak zionis yang ingin memporak-perandakan dunia. 

Namun Muhammad Ayyas tetap utuh dengan pegangan hidupnya. Setiap saat dia mengingatkan dirinya tentang Tuhannya dan tidak pernah putus memohon perlidungan dariNYA. Satu demi satu ujian ditempuhi, dan satu demi satu kejayaan dilakar, berkat kesabaran dan pergantungan yang tinggi terhadap Yang Maha Esa.

Apa kata saya :

Ini adalah novel ketiga Habiburrahman yang saya baca, selepas KCB 1 dan KCB 2. Novel best-seller beliau yang pertama – Ayat-Ayat Cinta - saya tak baca, kerana saya telah menonton filemnya sahaja. Bermula daripada KCB 1, saya amat menyenangi hasil tulisan beliau, dan tidak sabar-sabar untuk membaca KCB 2 pula. Usai membaca KCB 2, saya tertunggu-tunggu karya seterusnya daripada beliau, dan kini saya telah selesai menamatkan bacaan Bumi Cinta, meski boleh dikatakan agak terlambat.

Bumi Cinta berbeza dengan KCB dan mungkin juga berbeza dengan Ayat-Ayat Cinta, dari segi tema yang diangkat sebagai tunjang ceritanya, serta dari segi watak peneraju cerita. Dalam Bumi Cinta, Kang Abik menonjolkan Muhammad Ayyas sebagai seorang yang hampir sempurna; berbudi bahasa, cerdas, menguasai Bahasa Inggeris, Rusia dan Arab dengan baik, pintar berbahas, berpengetahuan luas, berhati mulia dan mempunyai pegangan agama yang amat teguh. Sepanjang membaca Bumi Cinta, berkali-kali terdetik di hati saya persoalan tentang wujudkah individu seperti  Ayyas ini? Namun apabila menyedari semula saya sedang membaca sebuah novel, persoalan itu saya abaikan, penulis berhak mencipta watak yang sempurna begitu kerana ia bukanlah sebuah kisah benar dan agar pembaca dapat mencontohi mana-mana kebaikan diri watak biarpun sedikit; itulah peranan sebuah karya yang baik pada pendapat saya.

Tema yang menunjangi Bumi Cinta adalah kepercayaan kepada Tuhan, sebuah tema yang berat dan besar tetapi dapat diangkat oleh Kang Abik melalui kisah hidup Ayyas bersama beberapa watak utama cerita ini. Kang Abik melakarkan Bumi Cinta bukan dengan cerita semata-mata, tetapi dilatari juga dengan tadabbur kalam Allah dan hasil kajian dan penemuan ilmiah, di samping pengetahuan tentang sejarah. Secara tidak langsung, pembaca akan mengetahui tentang pelbagai input yang bersifat ilmiah, biarpun bukan secara terperinci apabila membaca buku ini.

Salah satu perkara yang saya suka tentang buku ini adalah deskripsi tempat yang melatarinya, iaitu Moskow. Saya suka membaca cerita yang berlatarkan luar negara, kerana melaluinya saya dapat mengetahui tentang keadaan dan budaya sesuatu tempat walaupun tidak berpeluang untuk berkunjung ke tempat tersebut. Melalui buku ini banyak ilmu yang baru saya tahu, seperti akibat yang berlaku kepada seseorang jika terdedah kepada cuaca sejuk, pakaian yang digunakan semasa musim sejuk, keadaan kehidupan masyarakat di Rusia, perancangan jahat zionis terhadap Islam, jenis-jenis atheis, dan beberapa tempat menarik di Moskow seperti Kremlin dan Red Square.

Jika dalam KCB, Kang Abik banyak membicarakan tentang persoalan cinta dan jodoh, hal sedemikian kurang ditonjolkan dalam Bumi Cinta. Tanpa ayat-ayat romantis yang membuai jiwa dan rasa, ia tidak sedikit pun mencacatkan cerita dan tidak sedikit pun mengurangkan keghairahan saya untuk membaca dari kulit ke kulit. Ada rahsia besar yang tersingkap di penghujung cerita, dan saya rasa pengakhiran secara ‘tergantung’ yang dilakukan oleh penulis mungkin menandakan akan ada lagi kesinambungan cerita ini nanti.

Kepada pembaca yang inginkan suatu bacaan untuk pembangunan jiwa dan mengandungi input ilmiah yang disampaikan secara santai, serta menginsafkan diri tentang betapa indahnya Islam dan besarnya kasih-sayang Allah terhadap makhlukNYA, bacalah Bumi Cinta, mudah-mudahan kita berada di bumi cinta dan bakal dibangkitkan suatu hari nanti di ‘bumi cinta’ yang kekal abadi.

 Red Square dan Kremlin, antara tempat yang dikunjungi oleh Ayyas semasa di Moskow.

 Kremlin pada musim sejuk, suasana yang dialami oleh Ayyas di Moskow.

Moscow State Universiti atau MGU, tempat Ayyas mengumpulkan data untuk penulisan 
sarjananya dan tempat pertemuan Ayyas dan Dr. Anastasia.