Judul : Salju Sakinah
Pengarang : Zaid Akhtar
Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd
Genre : Sastera
Mukasurat : 559 halaman
Pengarang : Zaid Akhtar
Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd
Genre : Sastera
Mukasurat : 559 halaman
Salju Sakinah mengisahkan tentang Sumayyah, pelajar tahun akhir Universiti Yarmouk, Jordan. Kisah bermula beberapa minggu sebelum Sumayyah menduduki peperiksaan akhir, tiba-tiba didatangi warkah kiriman seseorang yang amat dinanti olehnya. Malangnya, warkah yang dinanti rupa-rupanya membawa perutusan duka, Afnan memutuskan ikatan kasih sayang mereka secara tiba-tiba dan meminta melupakan dirinya kerana dia bakal berkahwin dengan pilihannya yang lain di Kaherah. Khabar duka itu disimpan diam-diam oleh Sumayyah, tidak diceritakan kepada teman-teman rapatnya, Hakimah dan Fatehah.
Dalam kegalauan hatinya menghadapi kesedihan itu, berlaku satu peristiwa yang menemukannya dengan seorang mahasiswa senegara di universiti yang sama, lelaki berkopiah ala Raihan, yang cukup meninggalkan bekas di hatinya. Tidak lama selepas itu, selaku mantan exco tertinggi siswi, dia telah diundang sebagai salah seorang panel forum anjuran Persatuan Mahasiswa Malaysia Yarmouk (PERMAYA). Meski bakal menduduki peperiksaan paling penting, serta hati yang sedang gundah dengan berita perpisahan, Sumayyah yang tebal dengan semangat da’ie tetap menerima tugasan tersebut, yang tanpa disangka telah menemukannya lagi dengan lelaki berkopiah ala Raihan yang telah membantunya, Naufal.
Peperiksaan akhir berlangsung, dan Sumayyah melaluinya dengan persiapan yang sebaiknya. Lima hari selepas peperiksaan selesai, seperti yang telah dirancang, Sumayyah terbang meninggalkan bumi Jordan, dengan rindu yang sarat kepada keluarga di tanah air. Namun, tanpa diduga, dia disambut dengan berita yang maha mendukacitakan rasa, abah yang amat disayangi rupanya telah pergi dijemput Ilahi! Belum lagi sembuh rasa duka lewat warkah Afnan, dia diduga lagi, dengan rasa duka yang lebih besar. Beberapa hari pemergian abahnya ditangisi, dia mula sedar akan tanggungjawabnya menjaga umi dan menguruskan perusahaan kerepek yang ditinggalkan oleh arwah abahnya.
Dengan dibantu oleh Muazam, pemuda bersuara persis Afnan yang menjadi pekerja kepercayaan arwah abahnya, Sumayyah mula menyesuaikan dirinya dengan urusan perniagaan. Dalam kesibukan dengan urusan di Desa Wali, Sumayyah juga mula melibatkan diri dengan aktiviti dakwah dan tarbiyah di sekitar daerahnya, atas ajakan dan dorongan bekas gurunya, Ustazah Samihah. Sumayyah semakin betah dengan kehidupan barunya, menjaga umi, menguruskan Desa Wali dan melibatkan diri dalam dakwah dan tarbiyah.
Namun, ujian Allah sentiasa ada untuk mengangkat darjat hambaNya yang bertakwa. Begitu yang menimpa Sumayyah. Di kampung, dia diuji dengan fitnah Zaleha- jiran yang cemburu dan menuduh Sumayyah menggoda suaminya; diuji dengan Kak Long dan suaminya yang terpengaruh dengan ajaran sesat Tok Ayah Mit; dan juga kehadiran bekas teman sekolah- Lokman yang saban waktu menagih kasih darinya. Sebagai manusia biasa, ada kalanya dia hampir tewas dengan ujian yang mendatang, namun sebagai seorang yang punya pegangan agama yang utuh, Sumayyah terus mengharunginya dengan tabah dan yakin dengan ketentuan Allah, di samping berbekal semangat yang selalu diulang arwah abahnya bahawa dia harus kuat dan tabah, setabah Sumayyah Ummu Ammar bin Yasir!
Satu per satu dugaan ditempuhi, dan Sumayyah teruji lagi, apabila mengetahui salah satu subjek yang diambilnya tidak lulus, dan untuk bergelar seorang graduan yang hakiki dia perlu kembali ke Jordan semula untuk mengulang semula subjek tersebut. Dengan hati yang berat dan rasa malu yang tebal, dia kembali semula ke sana untuk menyelesaikan pelajaran yang belum sempurna, tanpa menduga ada takdir yang indah untuknya di sana. Rencana Allah untuk hambaNya tak siapa pun mampu menduganya, dan sesungguhnya benarlah bahawa di setiap kesulitan pasti akan muncul kesenangan, pada setiap yang terjadi pasti ada hikmah yang tersembunyi.
_______________________
Apa kata saya:
Saya amat meminati karya Zaid Akhtar, semenjak saya mula mengenalinya melalui novel pertama beliau – Sesegar Nailofar. Selepas Sesegar Nailofar, saya juga membaca Rona Bosphorus dan novel ini, Salju Sakinah merupakan karya ketiga beliau yang saya senangi.
Gaya bahasa yang digunakan oleh Zaid Akhtar dalam SS masih ada persamaan dengan SN dan RB, dan mungkin juga lebih baik berbanding kedua-duanya (saya agak sahaja kerana kedua-duanya saya baca lebih kurang 10 tahun yang lalu). Beliau masih selesa menggunakan perkataan-perkataan arab untuk menggantikan perkataan melayu seperti ‘karib’(dekat), ‘rafik’(teman/ kawan), ‘istifham’(persoalan/pertanyaan), ‘mauduk’(topik/tajuk), ‘rukyah’ (pandangan), ‘jihat’ (arah/sudut) dan banyak lagi. Bagi seorang yang pernah belajar Bahasa Arab, hal ini tidak menjadi kesulitan malah saya menyenanginya, dan bagi yang tiada pengetahuan Bahasa Arab tidak perlu risau, kerana glosari disediakan di muka surat terakhir novel 559 halaman ini. Selain itu, banyak juga perkataan melayu yang jarang ditemui dalam buku-buku biasa digunakan oleh penulis dalam novel ini, sebahagiannya tidak pernah saya temui sebelum ini (mungkin kerana saya kurang membaca karya sastera).
Setiap novel yang ditulis oleh Zaid Akhtar pasti mengandungi satu isu utama yang menjadi tunjang ceritanya, dan dalam buku ini beliau mengemukakan isu ajaran sesat. Isu ini ditonjolkan melalui kisah kakak sulung Sumayyah bersama suaminya yang terpengaruh dengan ajaran sesat satu kumpulan yang diketuai oleh Tok Ayah Mit. Penglibatan pasangan tersebut dalam ajaran sesat tersebut telah mengubah sikap Kak Longnya terhadap keluarga, dan menjadi salah satu ujian yang besar buat Sumayyah. Walau bagaimanapun, pada pandangan saya penulis tidak mengupas isu ini dengan mendalam dan terperinci, sedangkan ada ruang untuk didalami dengan lebih baik.
Satu pujian saya buat penulis ialah- beliau berjaya menggarap watak Sumayyah dengan baik sekali. Bukan mudah untuk seorang penulis bercerita tentang watak yang berlawanan jantina dengan dirinya sendiri, tetapi watak Sumayyah dapat dibangunkan dengan baik oleh Zaid Akhtar, pada pendapat saya sebagai seorang perempuan. Ini adalah perbezaan terbesar Salju Sakinah berbanding Sesegar Nailofar dan Rona Bosphorus, kerana kedua-duanya ditunjangi watak lelaki- Iqbal (SN) dan Afham (RB). Watak Sumayyah digarap dengan kekuatan dan kelemahan, tidak terlampau idealistik. Begitu juga dengan cara perhubungan Sumayyah dan teman-temannya seperti Hakimah, Fatehah, Izzati dan Marianis – sangat ‘hidup’, tidak kaku dan saya rasa seolah-olah persahabatan mereka benar-benar berlaku, bukan direka-reka, sehingga lelucon dan usik-mengusik mereka turut saya ‘sertai’ dengan senyuman semasa membacanya.
Salah satu bahan bacaan yang baik bagi saya adalah yang mampu membuat saya mengeluarkan air mata, dan itulah yang berlaku semasa saya membaca Salju Sakinah. Satu per-tiga yang pertama, sudah banyak air mata saya yang mengalir; saya kasihankan Sumayyah yang sedih ditinggalkan Afnan; saya terkesan oleh kesayuan hati Sumayyah berpisah dengan teman-teman baiknya di Jordan; dan saya amat sayu dan sedih apabila kepulangan Sumayyah disambut dengan berita abah tersayang dan amat dirindui telah pergi dijemput Ilahi. Saya cuba membayangkan jika saya yang berada di tempat Sumayyah, dugaan demi dugaan datang bertimpa-timpa!
Soal hati, cinta dan jodoh seperti sudah menjadi sesuatu yang sinonim dengan Zaid Akhtar (ini pendapat peribadi saya sahaja). Hal ini saya temui dalam ketiga-tiga novel beliau, Sesegar Nailofar, Rona Bosphorus, dan Salju Sakinah juga. Hal ini bagi saya bukanlah sesuatu yang negatif, malah salah satu faktor penarik untuk saya setia meminati karya beliau, selain susunan bahasa yang indah dan segar. Dalam Salju Sakinah, beberapa watak lelaki muncul dalam hidup Sumayyah ; Naufal, Lokman dan Muazam, yang membuat pembaca tertanya-tanya, jejaka manakah yang akan berjaya mendapat cinta Sumayyah? Namun, jika anda seorang peminat karya Zaid Akhtar, jawapannya sudah boleh dimaklumi sebelum cerita berakhir. Jadi kepada penulis, saranan saya mungkin Ustaz boleh mencipta penamat yang berbeza dan tak terjangkakan untuk karya yang seterusnya nanti, jika ada.
Secara keseluruhannya, saya menyenangi Salju Sakinah, terutama dua per-tiga bahagian yang pertama, iaitu semasa Sumayyah masih berkuliah di Jordan dan semasa Sumayyah berada di Malaysia. Bab-bab terakhir bagi saya sudah agak meleret-leret, kisah cinta selepas perkahwinan antara Sumayyah dan suaminya pada pandangan saya tidak perlu dipanjang-panjangkan, dan menjadikan Salju Sakinah seolah-olah sama dengan novel cinta yang berlambakan di pasaran.
Tahniah diucapkan kepada Zaid Akhtar atas kejayaan terhasilnya Salju Sakinah, insyaAllah jika ada lagi karya terbaru beliau saya tidak akan teragak-agak untuk mendapatkannya. Kepada peminat novel yang ada pengisian islami dengan garapan bahasa yang segar dan indah, dapatkanlah novel yang sudah diulang-cetak sebanyak 8 kali ini, hayatilah perjalanan hidup seorang Sumayyah, insyaAllah ada kepuasan yang bakal dirasai.
salam ziarah.
ReplyDeleteterima kasih kerana sudi membaca dan menulis resensi novel yang seadanya ini. moga bermanfaat.
Ustaz Zaid, maaf kalau ada komentar yang salah atau kata yang terlanjur, saya sekadar berkongsi rasa pada karya2 Ustaz. Saya akan terus menyokong karya Ustaz, insyaAllah.
ReplyDeleteLama dah rasanya ustaz zaid tak muncul dengan novel baru.
ReplyDelete