Thursday, November 11, 2010

Tahniah, adik! :)


Tahniah diucapkan buat adik bongsu saya, Muhammad Khalil Asyraf a.k.a Mat Kolil atas kejayaannya mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR. Seawal jam 7.40 pagi tadi saya menelefon mak untuk menanyakan keputusan Mat Kolil ni, tapi mak bagitahu selepas jam 10 baru keputusan akan diumumkan.

Sedang saya ralit menanda kertas jawapan peperiksaan pelajar saya, ada panggilan masuk ke telefon- daripada mak. Sebak suara mak mengkhabarkan keputusan adik, buat hati saya pun terasa sebak sama. 

"Kenapa mak nangis? Adik kan dapat 5A?"
"Mak sedih..."
"Kenapa sedih?"
"Tak ramai student mak dapat 5A"
"Berapa orang yg dapat 5A?"
"25 orang"
"Tahun lepas berapa orang?"
"21 orang"

Saya : ?????

"ala mak, ramai dah la tu, 25 orang! Kan dah ada peningkatan 4 orang tu!"
mak oh mak!

Buat adik, ribuan tahniah Kak Yah ucapkan. Jangan lupa ucapkan terima kasih kepada semua guru yang telah berkorban masa, tenaga, dan mungkin wang ringgit untuk membantu adik selama ni. Jangan lupa juga, ucapkan terima kasih pada mak yang banyak 'memaksa' dan 'mendera' adik selama ni  :) Paling penting, ucapkan syukur pada DIA Yang Maha Kuasa kerana tanpa izinNYA segala usaha kita tiada ertinya.

Pesanan Kak Yah, jangan cepat berpuas hati dan rasa bangga diri dengan kejayaan ni, ini hanya suatu permulaan, di depan sana masih banyak 'ujian' yang lebih besar dan lebih mencabar menanti adik!

Monday, November 8, 2010

Good Luck!



Peperiksaan akhir tahun sudah bermula sejak minggu lepas lagi. Jadi, sekarang pergi sekolah hanya mengawas peperiksaan saja, tak la best sangat, tapi yang paling syok, tak perlu sediakan rancangan pengajaran harian (RPH) a.k.a lesson plan yang panjang2  :)

Hari ini hari giliran untuk mata pelajaran yang saya ajar - Pendidikan Islam. Setiap kali peperiksaan tiba, tidak kiralah sama ada peperiksaan dalaman atau peperiksaan umum, rasanya para guru lebih berdebar-debar berbanding pelajar. Iyalah, setiap guru pasti ingin memastikan peratus pencapaian pelajar-pelajarnya meningkat, dan untuk itu bilangan pelajar yang mendapat keputusan 'LULUS' mestilah bertambah, dan sesungguhnya itu bukanlah sesuatu yang mudah.

Apapun, saya doakan para pelajar saya dapat menjawab dengan baik. Bermula malam nanti saya bakal berteman dengan skrip jawapan pelajar dan pen merah, ke hulu ke hilir itulah yang akan saya kelek. Untuk itu, saya mungkin perlu kurangkan aktiviti di blog dan di FB, aduh!

Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum :)

Selamat berkunjung ke ruangan coretan baru saya, Coretan Arirada. Bagi rakan2 yang sudah lama mengenali saya, pasti sudah pernah berkunjung ke 2 ruangan maya saya sebelum ini, 'Momen Hidup' dan 'Hidup Dalam Dua Nafas'. Ruang yang pertama saya hentikan kerana masalah photo storage yang terhad (saya guna free account sahaja), dan ruang yang kedua 'terhenti' tanpa kerelaan saya sendiri, entah apa masalahnya saya sendiri pun tak tahu (saya bukanlah arif sangat tentang komputer dan internet), tiba-tiba saja account gmail dan blog tersebut tidak dapat diakses langsung. Banyak posting yang saya sayang di situ, tapi tak mengapalah, mungkin ada hikmah di sebaliknya, saya berusaha untuk terima dengan redha.

Alam blog ibarat sebuah diari bagi saya. Dulu, sebelum mengenal internet dan blog, saya sangat suka menulis diari. Saya tak ingat dah berapa buah diari yang saya tulis, sebab setiap tahun saya akan hapuskan diari-diari tersebut, bimbang jika ditemui dan dibaca oleh orang lain. Agak pelik, kan? Biasanya orang menulis diari untuk 'simpan' peristiwa tertentu pada tanggal tertentu dalam bentuk catatan, supaya boleh dibaca dan diimbau semula pada masa akan datang. Kadang2 ya, saya juga menulis dengan tujuan yang sama, tapi bukan semata-mata untuk itu. Saya menulis untuk kepuasan diri, untuk meluah apa yang terbuku di hati, dan untuk mengasah kemahiran menulis.

Kemahiran menulis? Saya tidak mahir menulis, tapi saya amat ingin menulis! Semenjak sekolah rendah lagi, saya sangat suka membaca novel. Setiap kali khatam membaca sesebuah buku, saya teringin sangat untuk menulis cerita sendiri. Saya selalu berfikir-fikir 'macam mana nak menulis novel?' Sebuah novel koman2 pun 300 muka surat, oh, itu di luar kemampuan saya! Apatah lagi, perbendaharaan kata saya rasanya amat sedikit dan saya juga tidak tahu menyusun bait kata yang indah-indah. 

Jika menulis diari, hanya saya seorang saja yang boleh membacanya, tidak dapat dikongsi oleh orang lain. Nak menulis novel, saya tiada kebolehan hingga ke tahap itu. Jadi, blog adalah tempat terbaik buat saya; untuk saya menulis sepuasnya sambil berkongsi cerita suka dan duka yang saya alami, di samping mengerat tali silaturrahim dengan rakan taulan yang kini terpisah oleh jarak dan waktu, dan mungkin juga menjalin ukhuwwah dengan kenalan2 baru biarpun sekadar di alam maya.

Jadi, untuk tujuan2 yang dinyatakan itu, dan beberapa 'hadaf' lain yang saya sendiri pun tak tahu bagaimana untuk dinyatakan dan dihurai di sini, Catatan Arirada diwujudkan. Biarpun tidak ada yang indah2 atau hebat2 untuk saya tampilkan di sini, biarpun bahasa yang saya gunakan 'entah apa-apa', biarpun tidak ada 'follower' yang tertentu, saya akan terus mencoret di sini, insyaAllah.

Dan, sedikit perbezaan berbanding dua ruang maya saya sebelum ini, kali ini saya ingin menggunakan kata ganti nama 'saya', bukan 'aku' seperti sebelum ini. Terima kasih buat yang sudi berkunjung dan membaca coretan-coretan di sini, mohon ditegur dan diperbetulkan sekiranya ada kesilapan fakta atau mungkin ada coretan yang kurang menyenangkan (untuk coretan2 akan datang).

Salam ukhuwwah dari saya buat semua yang berkunjung ke blog Catatan Arirada  :)